Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin GAMBAR: Abd Razak Aid

SIKAP ibu-bapa yang masih tidak mahu membawa anak-anak mereka mendapatkan vaksin telah menyumbang kepada peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak.

Kekecewaan itu dizahirkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin selepas hanya 30 peratus daripada populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun direkodkan mendapat vaksin Covid-19.

Menurut beliau, masa untuk ibu-bapa tunggu dan lihat keberkesanan vaksin serta risiko terhadap anak-anak mereka sepatutnya sudah tamat selepas sebulan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dilaksanakan.

“Saya sedih dengan keadaan kes yang meningkat dalam kalangan kanak-kanak, kemasukan ke hospital juga meningkat bagi golongan tersebut.

“Ibu-bapa masih tidak membuat pilihan untuk memberi perlindungan kepada anak-anak mereka daripada Covid-19.

“Vaksinasi dalam PICKids adalah selamat dan memberi perlindungan daripada kanak-kanak mengalami gejala yang paling serius sehingga memerlukan mereka dimasukkan ke hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas Peralihan ke Endemik oleh Menteri Kesihatan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Kelab malam tidak dibenarkan beroperasi dalam Fasa Peralihan ke Endemik – Khairy

Mengulas lanjut, Khairy turut merayu kepada ibu-bapa untuk membawa anak-anak mereka mendapatkan vaksinasi Covid-19.

Jelas beliau, KKM telah mewujudkan reruai PICKids di klinik pediatrik atau mana-mana lokasi yang sesuai di hospital untuk memastikan program vaksinasi kanak-kanak berjalan lancar.

Tambahnya, pihak kementerian turut menganjurkan kempen vaksinasi terhadap golongan kanak-kanak bagi memberi kesedaran kepada ibu-bapa tentang kepentingan vaksin.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram