PENYANYI yang kini bergelar usahawan, Erna Elliyana Rosli, 33, mencipta kejayaan membanggakan apabila produk kesihatan dan kecantikan yang diusahakan, Kamya Glow dinobatkan sebagai The Brandlaureate-Bumiputera Best Brand Award bagi kategori Health And Beauty.

Terus melakar sukses tersendiri, produk di bawah payung AlphaNeyaga Sdn. Bhd. itu menerima pengiktirafan berkenaan dalam sebuah acara yang berlangsung di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kian mendapat tempat di hati pengguna baik lelaki dan wanita, Erna menyifatkan anugerah yang diraih membakar semangat selain menjadi penanda aras baru buat Kamya Glow.

Erna bersama Datin Aliyah

“Sudah pasti saya dan pasukan rasa bangga dan bersyukur. Meski masih boleh dikira baru, namun jenama ini pantas dikenali seiring dengan kualiti yang kami ketengahkan. Malah bila menerima anugerah ini satu sesi yang sama dengan produk terkenal sedia ada, jujurnya saya rasa kecil berbanding yang lain.

“Bagaimanapun, saya cuba ketengahkan ‘mindset’ bahawa, situasi bisnes sekarang tidak lagi sama seperti dulu. Biar kita nampak kecil atau baru, namun sekiranya konsisten, saya percaya ia akan membuahkan hasil positif. Yang penting jangan pernah putus asa.

“Malah ketika mahu terokai bisnes kesihatan dan kencantikan ini, saya dan suami memang tidak mahu hasilkan produk yang bermusim. Sebab itu bagi saya ‘branding’ sangat penting, bukan hanya konsep jual barang semata-mata.

“Jadi, memang objektif kami agar jenama ini sinonim dengan kualiti bersama manfaat baik yang terkandung di dalamnya. Meski kami sudah pun mempunyai beberapa cabang perniagaan lain sejak 2015, namun kejayaan Kamya Glow itu sendiri dilihat sebagai permulaan baik bagi 2022,” katanya.

Percaya kepada kerjasama dalam pasukan, ibu kepada empat cahaya mata ini juga mendedikasikan anugerah berprestij berkenaan kepada seluruh warga kerjanya.

Terdahulu, Anugerah Brandlaurete adalah satu pengiktirafan nasional kepada syarikat bumiputera yang berjaya menempa jenama di peringkat nasional.

“Saya juga bersyukur kerana mempunyai pasukan yang efisyen, berwibawa dalam memainkan peranan masing-masing. Maksudnya, mereka tidak berkira dari segi masa juga sentiasa memperbaiki diri.

“Pada masa sama, saya terbuka dalam mendengar idea segar daripada mereka yang terdiri dalam kalangan orang muda. Perah otak dalam cari idea baru bersama-sama, ada komunikasi dua hala. Jadi kejayaan yang diterima sudah tentu terhasil menerusi kerjasama semua pihak.

“Komitmen terbaik juga hadir daripada duta utama kami, Datin Alyah bersama wajah wakilan lain seperti Dai Syed dan Viviana Abdullah yang turut mendorong kepada kejayaan kami. Saya bertuah kerana Alyah selebriti yang tidak berkira dalam soal promosi.

“Pada peringkat ini, saya percaya pengaruh selebriti atau ‘influencer’ juga penting,” katanya yang turut berdepan cabaran dalam meneruskan bisnes sepanjang tempoh pandemik COVID-19 melanda negara.

Turut setia mempromosikan Kamya Glow termasuk penyanyi Ayu Damit, Nita Hamzah dan jurusolek Bosco Ryzal.

Bagi meluaskan jenama ini di kalangan masyarakat, Kamya Glow turut mempelawa semua pihak bagi mencuba produk berkenaan secara percuma.

“Kami jalankan ‘give away’ secara besar-besaran yang mana kepada Kamya ‘lovers’ yang berminat boleh mengikuti kami menerusi aplikasi Telegram. Kami akan poskan secara percuma di mana sahaja anda berada. Informasi lanjut mengenainya boleh didapati di akaun media sosial Kamya Glow.

“Banyak lagi kejutan serta tawaran hebat yang kami bakal lakukan. Anda hanya perlu nantikan sahaja pengumuman istimewa daripada kami,” ujarnya yang tidak akan berhenti menyebarkan manfaat Kamya Glow kepada semua.