Ahmad Zahid Hamid pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pengundi DUN Kota Iskandar di Bilik Gerakan Parlimen Iskandar Puteri Gelang Patah Johor semalam./Gambar FB Ahmad Zahid

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat tahu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor tidak akan memberi kesan kepada mahkamah.

Menurut Ahmad Zahid, sebaliknya keputusan PRN memberi kesan kepada mereka yang menabur dakyah konononnya PRN Melaka dan Johor bagi menyelamatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) daripada pertuduhan mahkamah.

Kata beliau, lawan BN sebenarnya tahu yang rakyat tahu fakta itu tetapi inilah namanya taktik “Auta 1001 Malam” atau “Bohong Sampai Jadi”.

“Taktik itu bertujuan untuk menanam propaganda mereka dalam fikiran masyarakat Johor.

“Mereka ulang-ulang tohmahan yang sama dengan objektif lama-kelamaan rakyat termakan hasutan yang diulangi setiap hari,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Baca: Perdengaran permohonan Ahmad Zahid dapatkan rakaman percakapan saksi daripada SPRM 8 April

PRN Johor: BN kata itu peribadi, tapi PN terus asak isu integriti

Sementara itu, katanya, seperti Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), cara berkempen mereka tetap sama dengan menabur fitnah dan menanam kebencian rakyat dengan tipu daya yang direka cipta mereka sendiri.

Kata Ahmad Zahid, ini berbeza berbanding BN yang sentiasa mengetengahkan usaha dan gerak kerja tentang kepentingan kestabilan rakyat dapat dikembalikan di Johor.

“Dalam masa yang sama kita menjawab tohmahan mereka berdasarkan fakta yang benar dari semasa ke semasa.

“Namun Bangsa Johor jangan pandang rendah taktik mereka kerana inilah taktik sama digunakan mereka semasa PRU-14.

“Sentiasalah berwaspada supaya tidak masuk perangkap yang sama buat kali kedua. Kali ini orang Johor tetapkan hati yakini BN.

“Saya amat yakin seluruh pengundi di Johor dapat menilai dan membezakan mana Intan dan kaca, mana yang sembang kari, mana yang buat kerja sampai jadi,” jelasnya.