Bendera parti politik yang berkibar pada Pilihan Raya Negeri Johor. GAMBAR: Abd Razak Aid

RASUAH menambahkan kos, barang seringgit boleh jadi berganda. Hasil negara tiris.

Ini nilai asas yang diangkat di peringkat global terutama untuk rakyat negara-negara dunia ketiga memahami kenapa rasuah perlu diperangi

Memerangi rasuah, salah laku dan penyelewengan dalam perspektif yang lebih luas disebut integriti. Integriti termasuk amanah. Tidak curi tulang ketika bekerja itu juga integriti.

Di Malaysia, perkataan integriti mula banyak diperkatakan ketika pentadbiran Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ketika era Pak Lah ditubuhkan Institut Integriti Malaysia, Pelan Integriti Nasional dan disusuli Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggantikan Badan Pencegah Rasuah.

Usaha ini sudah tentu tidak ada titik noktahnya dan dari semasa ke semasa semua pihak bercakap soal pentadbiran berintegirti.

Ini juga diangkat sebagai teras manifesto oleh semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Baca: PRN Johor: Akujanji tolak rasuah perkukuh komitmen PN bentuk kerajaan bersih, cekap dan prihatin rakyat

Tambahan pula topik ini sangat mengiurkan kerana Malaysia masih dilingkari isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Di satu pihak, serangan bertali arus dihalakan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana skandal itu berlaku ketika era pentadbirannya.

Dan lebih mudah untuk membawa isu ini apabila mahkamah sudah pun memutuskan kes berkaitan salah laku Najib dalam anak syarikat 1MDB iaitu SRC International.

Modal kempen memang sedap, namun apakah ia meninggalkan kesan di hati pengundi untuk membuat pilihan 12 Mac ini?

Sedangkan ada juga yang merasakan ia seumpama ulang tayang kerana modal sama pernah digunakan secara besar-besaran pada PRU 2018 sehingga tumbangnya Barisan Nasional (BN).

Umumnya, kempen-kempen parti lawan BN memang sangat berpusat kepada isu 1MDB dan Najib – termasuk naratif baru mengenai dakwaan usaha membawa campur tangan.

Seperti kata Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, hal ini berkait kerana Ahli Parlimen Pekan itu masih diangkat UMNO sebagai salah satu tokoh utama parti walau sudah disabitkan.

Ahmad Faizal Azumu (tengah) bersama Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah serta pengundi-pengundi menyanyikan lagu Perikatan Nasional ketika hadir ke Ceramah Umum Perikatan Nasional bersama pengundi di Bilik Gerakan DUN Benut, Parit Seraya, Pontian Selasa lalu. GAMBAR: Abd Razak Aid

Di Pentas Anak Muda PN di Pagoh semalam juga, setiap yang berucap mengambil banyak masa mengulas hal ini walaupun tidak dinafikan turut disentuh soal perancangan untuk anak muda.

Situasi ini kemudian digunakan BN untuk mencetuskan tanda tanya yang lawan mereka seolah tidak ada isu lain. Tidak ada banyak agenda untuk Johor untuk dijelaskan.

Bahkan bagi Tan Sri Annuar Musa, soal individu dalam UMNO yang dihadapkan kes rasuah tidak membawa makna yang seluruh parti itu tidak berintegriti.

“Di sebelah sana ada juga (pemimpin) kes rogol, seks. Apakah kita nak kata mereka parti rogol,” kata Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu di hadapan penduduk di Sagil, dalam DUN Gambir Isnin lalu.

Annuar memang pemidato hebat. Jalan ceritanya walau tanpa teks, mengasyikkan bagaimana disusun satu persatu sehinggalah ceramah 40 minit itu dirasakan bagaikan baru bermula.

Annuar Musa ketika berucap dalam program bersama penduduk Sagil dalam DUN Gambir, Isnin lalu.

Johor tetap perlu jadi Johor. Politik Johor berbeza. Kata Annuar, kemajuan Johor menerusi kestabilan politik adalah agenda BN dan ini yang dimahukan pengundi setelah merasakan ada kekurangan ketika pentadbiran 22 bulan PH.

Namun semua ini terletak kepada selera 2.5 juta pemilih Sabtu ini yang mempunyai pelbagai kehendak. Apakah mereka merasakan parti yang mendokong individu terkait kes rasuah sebagai pemimpin perlu ditolak?

Atau mereka bersetuju dengan Annuar – hal individu, biarlah individu itu selesaikan di mahkamah. Rekod baik BN yang harus dilihat seperti mana modal kempen pemimpin parti itu.

Mungkin juga ada yang merasakan pentadbiran berintegriti memerlukan keazaman politik yang mendalam dan ini tidak ditawarkan semua parti walau manifesto semua parti ada sentuh integriti.