Majlis bacaan Yasin dan tahlil bersempena memperingati 100 Tahun Kelahiran Allahyarham Tun Haji Abdul Razak Hussein bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada hari ini./Gambar FB Mampu JPM

ARKIB Negara Malaysia (ANM) dengan kerjasama Yayasan Tun Razak dan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil bagi memperingati 100 tahun tarikh kelahiran Perdana Menteri Malaysia yang kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. 

Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata majlis berkenaan adalah permulaan kepada program dan acara sempena Sambutan 100 Tahun Tarikh Kelahiran Tun Abdul Razak Hussein yang dianjurkan oleh ANM. 

“Sepanjang tahun 2022 ini, Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Yayasan Tun Razak dan beberapa rakan strategik yang lain merancang mengadakan beberapa program bagi mengenang dan memperingati jasa serta sumbangan Tun Abdul Razak agar dapat dihayati oleh seluruh Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Majlis yang berlangsung pada pukul 12.15 tengah hari sebelum solat Jumaat hari ini, dipimpin oleh Imam Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Dr. Khalid Isa dan turut dihadiri Datuk Mohammed Nizam Tun Abdul Razak bagi mewakili keluarga Allahyarham; Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Pengerusi Yayasan Tun Razak Tun Hanif Omar; dan ketua-ketua Jabatan Persekutuan serta para jemaah masjid.

Allahyarham yang digelar sebagai ‘Bapa Pembangunan’ dilahirkan pada 11 Mac 1922 di Pulau Keladi, Pekan, Pahang dan merupakan anak sulung kepada pasangan Datuk Hussein Mohd Taib dan Teh Fatimah Daud, yang merupakan golongan bangsawan berbangsa Bugis di Pahang. 

Baca: Legasi pemikiran dan kepimpinan Tun Razak: Pemerkasaan sistem penyampaian

Legasi pemikiran Tun Razak, kemakmuran komuniti pertanian dan agenda sekuriti makanan 

Pada 1955, Allahyarham dilantik sebagai menteri pelajaran di bawah kabinet pertama negara, sekali gus memainkan peranan penting dalam membentuk asas awal sistem pendidikan negara bagi menggantikan sistem pendidikan penjajah yang diguna pakai ketika itu.

Atas usahanya, Penyata Razak telah dibentuk pada 1956 bagi menyatupadukan sistem pelajaran untuk membina sebuah bangsa yang bersatu padu dengan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan menjadi bahasa pengantar, dan penyata berkenaan kemudiannya dimaktubkan sebagai Ordinan Pelajaran 1957.

Allahyarham mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Almarhum Tunku Abdul Rahman pada 22 Sept 1970 dan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menekankan strategi serampang dua mata bagi membasmi kemiskinan serta penyusunan semula masyarakat untuk mewujudkan keharmonian dan perpaduan.

Beliau telah menghembuskan nafas terakhir pada 14 Jan 1976 akibat penyakit leukemia pada usia 53 tahun.

— BERNAMA