FASA peralihan monsun dijangka bermula 14 Mac ini dan berterusan sehingga pertengahan Mei 2022 yang memungkinkan negara mengalami banjir kilat dalam tempoh itu. GAMBAR hiasan: Abd Razak Aid


FASA peralihan monsun dijangka bermula 14 Mac ini dan berterusan sehingga pertengahan Mei 2022 yang memungkinkan negara mengalami banjir kilat dalam tempoh itu.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, fasa peralihan itu menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut sejak 3 November lalu.

Jelas beliau, semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir.

Menurutnya, keadaan itu lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah
serta barat dan tengah Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut, Muhammad Helmi berkata, keadaan cuaca itu berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.


Justeru ujarnya, oang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan. 


Tambahnya, orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.