Petugas Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) membuat persiapan sebelum hari mengundi sempena Pilihan raya negeri Johor di salah sebuah pusat mengundi di bandar Muar, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

PADA Januari 2014, seorang pemimpin besar DAP menyasarkan Johor untuk ditawan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kata Lim Kit Siang, “merampas Johor untuk menawan Putrajaya”. Ketika itu ramai yang agak sinis dengan kenyataan Lim Kit Siang.

Maklumlah, tidak ada negeri lain yang dapat menandingi eratnya Johor dan Barisan Nasional (BN).

Namun bagi yang betul-betul mendalami kenapa Johor disasarkan, pastinya tidak akan terkejut kerana ia sasaran realistik – berdasar komposisi kaum, jumlah pengundi bandar dan sebagainya.

Ternyata benar. Johor jadi milik PH. Apabila BN di Johor pun tumbang, bermakna tumbanglah BN di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Hayat PH menerajui Johor bagaimanapun tidak lama sama seperti di Pusat. Bahkan PRK Parlimen Tanjung Piai memperlihatkan bagaimana BN boleh menang besar hanya selepas setahun setengah ditumbangkan kelompok sama yang mengundi pada PRU 2018.

Begitulah mudahnya pengundi di Malaysia sekarang untuk beralih sokongan yang sekali gus menunjukkan kuasa peti undi.

Majoriti tentunya melibatkan pengundi tidak berparti dan ia merupakan segmen penting dalam kalangan pemilih di Malaysia.

Segmen satu lagi ialah pengundi teras dan dalam bab ini UMNO jauh mengatasi pesaing-pesaingnya yang lain apatah lagi di Johor.

Memang bukan mudah menguruskan ratusan cawangan di sesuatu bahagian dengan ribuan ahli. Ini bermakna periuknya besar.

Hinggakan ada yang kata lebih baik mempunyai ramai penyokong daripada ramai ahli seperti parti-parti tertentu.

Namun kerana banyak cawangan dan ahli tadi, UMNO sudah beberapa langkah di hadapan berbanding parti lain.

Penat tetapi sangat-sangat berharga bila tiba masanya. Pengundi teras adalah simpanan selamat UMNO.

Baca: PRN Johor: Purata 4.2 calon di setiap kerusi, rakyat letih tapi orang politik tidak

PRN Johor: Sengit di DUN Gambir, kempen saat akhir penentu

Ketua Pemuda BN, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bersama calon BN DUN Semerah, Mohd Fared Khalid memacakkan bendera BN ketika melawat persiapan jentera di PDM Parit Puasa, Parit Sulong dalam DUN Semerah, minggu lalu

Tanpa isu besar yang mampu memangkin ‘kemarahan’ untuk rakyat keluar mengundi, ditambah pula ancaman COVID-19 – kelebihan sudah tentu buat BN.

“Memang sasaran kita bawa keluar seramai mungkin pengundi putih,” hakikat yang diakui Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ditemu bual sebuah stesen televisen pasca PRN Melaka.

“Peratusan pengundian (Melaka) diharapakan sekitar 65 peratus. Lebih dari itu, kita tak menang banyak. Jika sampai lebih 70 peratus, kita dalam masalah,” kata Pengarah Pilihan Raya BN PRN Melaka dan kini Johor.

Baca: Bukan lagi untuk diulas dan dibangga, kini masa bekerja – Tok Mat

Tok Mat yang mempunyai rekod cemerlang dalam siri PRK dan PRN ternyata terbuka mengakui hakikat itu.

Untuk satu tempoh, memang itu strategi yang baik buat BN. Sistem kita first past the post. Tak dapat undi popular pun menang juga. Jadi berfokus lebih baik.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari pada pelancaran Kempen Jom balik Undi di Pagoh, Selasa lalu.

Sebab itu, di pihak Perikatan Nasional (PN) dan PH, mereka lebih rancak menyeru orang ramai keluar mengundi termasuk pengundi luar berbanding pemimpin BN.

Pada program Pentas Anak Muda PN di Pagoh Selasa lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat berseloroh yang ‘BN mungkin tengah buat solat hajat supaya orang tak ramai keluar mengundi.”

Pengerusi PN itu turut melancarkan Kempen Jom Undi di program berkenaan yang digerakaan Pemuda PN.

Hakikatnya sukar untuk melihat peratusan mengundi melebihi 80 peratus seperti PRU-14 lalu yang didorong isu nasional besar dengan jalan cerita yang membakar rakyat untuk meluahkan kemarahan di peti undi.

Tambahan pula, peluang 22 bulan PH memerintah tidak menepati jangkaan ramai pengundi atas pagar ini tadi. Ada yang tidak keluar kerana merasakan sama sahaja siapa pun dipilih.

Sangat mencabar buat PH mengikis persepsi itu. Tak cukup sekadar bertanding tanpa guna logo PH seperti yang dilakukan PKR.

Justeru, sudah ada yang cadang rombak sahaja kepimpinan dengan tampilkan wajah baru. Pemilihan PKR pun tidak lama lagi. Tuggu dan lihat.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram