Wajahnya memancarkan cahaya
Sekadar gambar hiasan

Umar al-Khattab pernah menyebut, “Barang siapa yang jernih dalam batinnya, akan diperbaiki Allah apa yang nyata pada wajahnya.”

Ungkapan Umar itu turut disokong oleh Habib Munzir yang mengatakan “Jiwa yang banyak mengingat Allah, maka wajahnya akan memancarkan cahaya.” Ternyata ia bukan cakap kosong kerana Allah jua mengatakan sedemikian. Firman-Nya dalam surah az-Zumar: 22.

Apakah orang yang dilapangkan hatinya oleh Allah untuk menerima Islam, ia dikurniakan oleh Allah dengan suatu cahaya.

Hal ini sudah tentu berbeza apabila resam manusia melihat, kecantikan hanya bersandarkan fizikal dan luaran seseorang. Lantas, orang yang berwajah tampan dan cantik, maka dialah yang selalu dijulang sekalipun amalannya pada agama tidaklah seberapa.  

Dan wajah yang sebaliknya, sering dikaitkan dengan keburukan sekalipun dahinya tidak pernah terlupa untuk tunduk sujud di bumi Allah ini.

Bilal bin Rabah antara contoh terdekat yang boleh dijadikan iktibar. Ada banyak kisah mengenainya. Ternyata rupa yang buruk bukan ukuran meraih cinta dan rindu Allah serta seluruh penghuni langit.

Buktinya tatkala Rasulullah s.a.w. ditanya oleh malaikat Jibril kerana tiadanya laungan azan subuh seperti mana biasa. Sudah tentu soalan tersebut mengejutkan Rasulullah s.a.w kerana azan subuh masih dilaungkan tetapi oleh orang lain yang mendakwa lebih fasih dan merdu daripada Bilal.

Ternyata cantik dan bagus pada manusia belum tentu dapat menarik perhatian Allah. Dan bermula daripada hari itu maka tanggungjawab melaungkan azan diserahkan kembali kepada Bilal sehinggalah Rasulullah s.a.w wafat.       

Terdapat juga sebuah itsar daripada seorang sahabat, Abdullah bin Mas’ud r.a. yang menyatakan, “Kebaikan itu akan memberikan cahaya pada wajah”.

Bahkan Ali bin Abi Talib pernah berkata: “Lintasan fikiran atau perasaan seseorang akan Allah tampakkan pada zahir (tampil) mereka”.

Bayangkan, jika seorang mukmin yang selalu berzikir kepada Allah, maka Allah akan nampakkan kemuliaan pada dirinya.”

Menurut Dr Mohd Zohdi Mohd Amin, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), air muka yang tenang seperti yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat adalah hasil daripada kesucian hati serta keikhlasan dalam beribadat kepada Allah.

Bahkan cahaya yang meliputi wajah hamba yang beriman adalah anugerah daripada Allah dan amat berkait rapat dengan hati. Lantas hati yang bersih akan mempamerkan wajah yang bersih, tetapi wajah yang bersih bukan petanda pada kesucian hati seseorang.

Ternyata cahaya di wajah adalah anugerah ketika di dunia sebagaimana firman Allah surah an-Nur: 35,  

“Allah (pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak daripada pohon yang barakah, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat (nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api.

Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Sementara itu  Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk-Nya dalam kegelapan jiwa (yang sentiasa mengajak kepada keburukan). Kemudian pada hari yang sama Dia memercikkan sebahagian daripada percikan cahaya-Nya kepada mereka. Barang siapa yang pada hari itu tepat terkena percikan cahaya-Nya, bererti ia mendapat petunjuk (menuju syurga). Dan barang siapa yang tidak terkena percikan cahaya-Nya, ia akan tersesat daripada jalan kebenaran. Oleh kerana itu, aku katakan telah kering pena untuk mencatat ketentuan Allah (semuanya telah diputuskan)”. (HR Imam Ahmad).

Itulah yang dimaksudkan dengan percikan cahaya, cahaya keimanan di hati dan lahir di wajah. Orang ini ialah orang yang bertakwa kepada Allah tanpa mengehendaki dunia walau sedikit pun, tetapi menjadikan dunia sebagai jalan untuknya menuju syurga Allah.

Magis Sujud

Terpancarnya air muka yang tampak tenang, bercahaya dan bersih, bukan ciptaan manusia. Sebaliknya ia adalah anugerah yang lahir daripada amalan dan keikhlasan di hati.

Hari ini, kemajuan teknologi ciptaan manusia juga gagal untuk menandingi anugerah Allah. Lihat sahaja, berapa banyak pembedahan plastik yang menjadi kegilaan manusia hari ini, akhirnya menampakkan ‘kecacatan’.

Cantik yang dicari, akhirnya hodoh yang dapat. Bukan lagi kebahagiaan sebaliknya kesengsaraan. Teringat satu kisah yang pernah berlaku di negara  Winter Sonata.

Pasangan selebriti yang berkahwin akhirnya bercerai gara-gara wajah anak yang dilahirkan, tidak secantik ibu dan setampan ayah yang telah pun melakukan pembedahan plastik. Realiti yang sukar untuk diterima!   

Ternyata, air muka yang tenang harus kembali melihat,banyak mana amal kebaikan yang dilakukan. Tidak kurang juga ia terpancar daripada amalan sujud yang banyak kepada Allah. Tak percaya? Kembali lihat firman Allah surah al-Fath: 29  

Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka, kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia Allah dan keredaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka daripada bekas sujud…..”

 Di dalam kitab tafsir karangan Ibn Kathir pula menyatakan, bekas sujud yang dinyatakan dalam ayat tersebut menurut Rasulullah s.a.w,

“Tanda-tanda yang tampak di muka mereka adalah tanda-tanda yang baik.” HR Bukhari.

Ibnu Kathir juga mencatat, para mujahid lain ada menyatakan, tanda yang disebut Allah itu maksudnya khusyuk dan tawaduk serta kebaikan itu memiliki cahaya di hati dan wajah, keluasan dalam rezeki dan kecintaan di hati orang.

Amirul Mukminin, Uthman bin Affan juga pernah berkata, “Tidaklah seseorang menyembunyikan rahsia, melainkan Allah menampakkannya melalui roman mukanya dan kekeliruan-kekeliruan lisannya.”

______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare