berhati-hatilah di pasar
Sekadar gambar hiasan

“Sesunguhnya pemboros-pemboros itu saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” Surah Al- Isra:27

Allah berfirman bahawa seburuk-buruk tempat di atas muka bumi adalah pasar. Di tempat itulah syaitan dan bala tenteranya memacakkan panji-panjinya. Mereka berusaha menghasut dan mempengaruhi manusia supaya berbelanja berlebihan begitu juga peniaga agar menipu dalam perniagaan dengan menipu timbangan dan bersumpah palsu demi melariskan barangan jualan mereka.

Pasar menjadikan manusia lalai dan tamak akan harta benda. Mereka berbelanja lebih daripada keperluan yang diperlukan. Syaitan mendorong mereka yang berada di dalam pasar untuk leka dan lalai serta melakukan pelbagai pendustaan seperti berbelanja berlebihan, meninggalkan solat, menjual barang yang tidak bermutu dengan harga yang tinggi dan melanggar hak dan etika jual beli.

Oleh sebab itulah pasar atau pusat membeli belah dikatakan seburuk-buruk tempat di muka bumi kerana ia mengundang manusia melakukan kemungkaran seperti yang dinyatakan.

Ia menjadikan manusia leka dan lupa tanggungjawab sebagai hamba Allah. Mahukah kita menjadi saudara syaitan? Mahukah kita ingkar kepada Tuhan seperti syaitan? Sudah pastinya tidak bukan. Kita pasti mahu hidup di dalam keredhaan Allah dan menjadi hamba yang taat kepadaNya.

Dr. Noor Lizza Mohamed Said, Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia menyatakan bahawa ulama tafsir membahagikan boros kepada tiga bahagian.

Pertama, berbelanja harta kepada jalan yang fasat atau bukan pada haknya seperti membelanjakan kepada jalan maksiat dan bukan kepada kebaikan.

Kedua, membelanjakan harta pada perkara yang harus tetapi melampaui had atau batas yang menjerumus kepada pembaziran seperti membeli mengikut kehendak yang melampaui had keperluan.

Ketiga, belanja harta untuk melakukan kebaikan seperti bersedekah atau menolong golongan yang memerlukan dengan melebih-lebih tetapi ia tidak dikira pembaziran kerana ia menggunakan hartanya kepada jalan yang benar. Jika harta yang kita ada tidak digunakan pada jalan yang benar maka dalam sedar atau tidak kita telah melakukan pembaziran.

Untuk mengelakkan daripada membazir, menurut beliau ia adalah bergantung kepada individu itu sendiri bagaimana cara untuk mereka mengelak daripada tergoda dengan hasutan syaitan.

Implikasinya, apabila kita termakan dengan bisikan halus syaitan, kita sudah lupa kepada Tuhan dan tanggungjawab kita sebagai hambaNya. Kita juga akan menjadi kufur dan tidak bersyukur dengan nikmat yang Allah telah berikan kerana menggunakan nikmat tersebut bukan kepada jalan yang benar.

Berbelanja pada yang perlu sahaja

Oleh sebab itu, kita sebagai umat Islam, sebaiknya mengamalkan doa serta zikir-zikir sebelum memasuki pasar atau sebelum memulakan perbelanjaan. Dengan amalan tersebut kita akan dapat menghindarkan diri daripada godaan syaitan.

Diriwayatkan di dalam kitab at-Tirmizi dan selainnya dari Umar bin Khattab r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Siapa yang masuk pasar kemudian mengucapkan: (‘La ilaha illallah wahdahu la syarika lahu lahul-mulku wa lahul-hamdu yuhyi wa yumitu wahuwa hayyun la yamut bi yadihil-khairu wahuwa ‘ala kulli syai in qadir).’ Tiada Tuhan yang patut disembah selain Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya. Milik-Nya seluruh kerajaan dan bagi-Nya segala pujian, Dia Maha menghidupkan lagi Maha mematikan, Dia Maha hidup dan tidak akan pernah mati. Di tangan-Nya segala kebaikan dan Dia Maha kuasa atas segala sesuatu, maka akan ditetapkan baginya satu juta pahala, akan dihapuskan darinya satu juta dosa dan akan diangkat darjatnya satu juta tingkat.”

Zikir dan doa yang dikhususkan boleh dijadikan amalan sebelum memasuki pasar kerana pasar adalah tempat yang lalai daripada mengingati Allah yang juga dikuasai oleh syaitan. Maka mereka yang mengamalkan zikir dan doa memasuki pasar akan dapat memerangi syaitan dan dapat memperolehi pahala yang banyak.

Jelas Dr. Noor Lizza lagi, kita haruslah berpandukan iman, ihsan dan Islam dalam mengelakkan diri melakukan pembaziran. Berdasarkan iman, kita yakin kepada Allah dengan berdoa, berzikir kepadaNya, seiring dengan pengertian iman iaitu membenarkan dengan hati, mengucapkan dengan niat dan mengamalkan dengan perbuatan.

Apabila kita berzikir dan berdoa sebelum memasuki pasar, kita harus yakin bahawa Allah akan melindungi kita daripada bisikan dan godaan syaitan. Ihsan pula, kita yakin bahawa apabila kita melakukan sesuatu Allah melihat kita. Kita akan takut untuk melakukan kemungkaran kerana yakin setiap perkara yang dilakukan ada yang menilai dan memerhati iaitu Allah.

Apabila kita yakin yang Allah melihat setiap perbuatan kita, secara tidak langsung kita akan berhati-hati dalam setiap perbuatan dan perlakuan kita. Jangan kita gunakan harta yang kita ada ke jalan yang tidak diredhai. Kita kena kuatkan tiga perkara tersebut dalam diri dan jangan biar ada ruang untuk syaitan menghasut diri kita.

Perkara Daruriyyat, Hajiyyat dan Tahsiniyyat

Selain itu, antara cara lain yang boleh digunakan dan boleh diamalkan untuk mengelakkan pembaziran atau boros adalah dengan meyenaraikan perkara daruriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat sebelum berbelanja. Kita perlu fahami dan hayati makna di sebalik ketiga-tiga konsep di atas yang boleh membantu kita untuk menghindari boros.

Utamakan perkara daruriyyat dalam berbelanja

Daruriyyat adalah perkara yang benar-benar diperlukan dalam kehidupan seharian kita seperti makanan, pakaian, minuman dan tempat tinggal untuk berlindung. Kita memerlukan setiap keperluan tersebut dan tanpanya ia akan memudaratkan seperti tidak dapat meneruskan kehidupan.

Manakala, hajiyyat pula adalah keperluan sahaja dan tanpanya kita masih dapat meneruskan kehidupan. Sebagai contoh telefon bimbit. Kita memerlukannya untuk berhubung antara satu sama lain, tetapi tanpa telefon bimbit kita masih boleh meneruskan kehidupan seperti biasa. Hajiyyat hanyalah keperluan sahaja yang ada atau tidak bukanlah satu masalah.

Perkara terakhir adalah tahsiniyyat iaitu benda atau perkara yang diperlukan untuk kesenangan, keindahan, kesempurnaan atau untuk kecantikan sahaja. Ia merupakan perkara yang kita tidak perlu dan hanyalah mengikut kehendak sahaja. Perkara tahsiniyyat ini tidak menjadi keperluan dalam kehidupan seharian ia hanyalah untuk memenuhi kehendak dan keinginan untuk kepuasan kendiri sahaja.

Tambah beliau lagi, untuk mengelakkan diri daripada boros, kita perlu menyenaraikan perkara yang diperlukan mengikut konsep daruriyat, hajiyyat dan tahsiniyyat tadi agar kita dapat hindari daripada berbelanja berlebihan.Tidak salah untuk membelanjakan harta yang kita ada tetapi biarlah kepada jalan yang benar.

Kadang kala kita belanja berlebihan tanpa mengikut senarai yang telah dibuat kerana termakan dengan godaan syaitan kepada kita. Kita biarkan syaitan menguasai dan bermaharajalela dalam fikiran dan minda.

Berbelanjalah dengan bijak, senaraikan keperluan dan jangan terlalu mengikut nafsu serta termakan dengan pujukan syaitan. Sebab itulah kita harus sentiasa berzikir dan amalkan doa serta mendekatkan diri kita kepada Allah agat sentiasa dilindungi olehNya.

Justeru, walaupun kita harus mengelakkan pembaziran atau boros tetapi tidak digalakkan untuk menjadi seorang yang bakhil seperti firman Allah s.w.t dalam surah Al-Isra’ ayat 29:

“Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah terlalu menghulurkannya, kerana itu kamu tercela dan menyesal.”

Ayat di atas menyatakan bahawa Allah melarang kita daripada membazir tetapi juga melarang kita jangan terlalu kedekut dengan tidak menghulurkan langsung kepada mereka yang memerlukan seperti bersedekah dan melakukan amalan kebajikan.

Kita dilarang terlalu kedekut untuk bersedekah umpama tangan yang terbelenggu di leher seperti diikat. Contohnya tidak bersedekah dan membantu golongan miskin, kedekut dengan ahli keluarga sendiri dengan menyekat keperluan yang diperlukan serta tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik seperti seorang suami yang tidak memberi makan kepada keluarganya.

Telah dinyatakan bahawa kita harus membelanjakan harta yang kita punya kepada jalan yang benar dan diredhai seperti bersedekah. Nikmat harta yang Allah berikan haruslah dikongsi dan dibelanjakan kepada perkara yang benar, barulah segala perbuatan yang dikerjakan akan diberkati.

“Sesungguhnya Tuhanmu melapangkan rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dan meyempitkannya; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya.” – Surah Al-Isra’:30

_________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare