KEMENANGAN besar BN dalam PRN Johor menyebabkan timbul desakan bubarkan Parlimen. GAMBAR: Abd Razak Aid

SELEPAS beberapa pemimpin Pemuda UMNO menyatakan kekesalan di atas kebiadaban segelintir ahli-ahli parti itu yang membuat provokasi terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika majlis sambutan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini tampil pula beberapa pemimpin Puteri UMNO turut menyatakan perkara yang sama.

Robiah Abd Rani

Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Bintang, Robiah Abd Rani berkata, kemenangan BN di Johor sedikit tercalar berikutan insiden segelintir kecil penyokong BN yang tidak beradab kepada Perdana Menteri semasa ketibaan beliau di Dewan Perhubungan UMNO Negeri, Johor Bahru, semalam.

“Hal ini jelas bercanggah dengan budaya UMNO. Parti keramat ini dibina atas rasa hormat dan patuh kepada pemimpin. Jangan sesekali cuba untuk mengeruhkan permuafakatan parti dengan budaya tidak beradab,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, keputusan berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tertakluk kepada perbincangan pemimpin tertinggi UMNO termasuklah Perdana Menteri sendiri selaku Naib Presiden UMNO dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Di peringkat akar umbi, janganlah berperangai terlebih sudu dari kuah. Hormati peranan dan keputusan pemimpin tertinggi UMNO berhubung apa-apa jua isu,” katanya.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Jempol, Nor Haliza Zainal Abdidin pula berkata, insiden segelintir kecil penyokong Barisan Nasional yang membuat provokasi dan tidak beradab kepada Perdana Menteri mencalarkan kemenangan parti itu di Johor.

Nor Haliza Zainal Abdidin

“Hal ini jelas bercanggah dengan budaya UMNO. Parti keramat ini dibina atas rasa hormat dan patuh kepada pemimpin. Jangan sesekali cuba untuk mengeruhkan permuafakatan parti dengan budaya tidak beradab,” katanya.

Mengenai PRU15, beliau berkata, UMNO mengangkat prinsip demokrasi dan turut mengambil kira suara akar umbi sebelum membuat sebarang keputusan. Justeru itu, gunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan anda.

BERITA BERKAITAN Biadab terhadap PM: “Bukan budaya UMNO, jangan sampai rakyat meluat” – Pemuda

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Putrajaya, Jumaitul Laily Zakiah juga bersependapat mengenai isu tersebut dengan mengeluarkan kenyataan membidas tindakan segelintir ahli UMNO yang tidak menghormati pemimpin nombor satu negara.

“Keputusan berhubung pembubaran Parlimen untuk mengadakan Pilihanraya Umum ke-15 tertakluk kepada perbincangan kepimpinan UMNO bersama Ahli Majlis Tertinggi. Keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 12 Januari 2022 menegaskan bahawa sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah sentiasa kekal malahan perlu terus dimantapkan,” katanya.

Jumaitul Laily Zakiah

Katanya, kenyataan Presiden UMNO pula dalam keputusan Majlis Tertinggi UMNO pada 27 Ogos 2021 menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan pelantikan Ismail Sabri selaku Perdana Menteri dan menyokong penuh pelantikan tersebut serta mengadakan kerjasama rentas parti bersama-sama menangani kemelut ekonomi, pandemik Covid-19 dan kesejahteraan rakyat.

“Di peringkat akar umbi yang mewakili sayap Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Putrajaya, kami menghormati peranan dan keputusan parti serta pucuk pimpinan Pusat mahupun Bahagian yang di ketuai oleh Ketua Bahagian, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Bendahari UMNO Malaysia berhubung apa-apa isu yang berkaitan dengan parti,” katanya.

Beliau berkata, UMNO mengangkat prinsip demokrasi dan turut mengambil kira suara akar umbi sebelum membuat sebarang keputusan dan ahli perlu mengggunakan saluran yang betul melalui Perhimpunan Agong UMNO 2021 yang akan berlangsung pada 16-19 Mac 2022 untuk menyuarakan pendapat. – UtusanTV