SEPERTI remaja lain, Ali (bukan nama sebenar), 26, tidak pernah lekang dengan rokok di tangannya. Selepas makan, rokoklah perkara utama yang dicarinya selain air.

Tabiat buruk Ali yang boleh menghabiskan dua kotak rokok sehari menyebabkan dia sering sakit dada. Namun Ali tidak mengendahkannya kerana menyangka itu adalah sakit biasa. Mungkin kerana terlalu banyak bahan kimia kerana asap rokok yang terkumpul dalam dadanya menyebabkan Ali tiba-tiba rebah di tempat kerja.

Ali bernasib baik kerana rakan-rakannya cepat membawanya ke hospital yang mempunyai peralatan jantung yang lengkap. Nyawanya dapat diselamatkan. Namun berapa ramaikah anak-anak muda yang akan bernasib baik seperti Ali yang terkena serangan jantung kerana penyakit arteri koronari (salur darah sempit) tapi berjaya diselamatkan?

Pakar Perunding Kardiologi, Dr. Zul Hilmi Yaakob, berkata, kini senario pesakit jantung telah berubah begitu mendadak sekali.

“Lima tahun lalu, hanya mereka yang berumur 60 tahun ke atas menghadapi masalah arteri koronari ini. Tetapi sekarang semakin ramai orang muda yang dapat penyakit ini. Kes pesakit paling muda yang pernah saya kendalikan hanya berusia 23 tahun.

“Selalunya salur darah itu sempit kerana seseorang itu ada penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolesterol yang tinggi, perokok dan kerana faktor genetik (keturunan).

“Tapi kini penyakit ini banyak menyerang orang muda berumur antara 40 hingga 45 tahun ke bawah, mereka tidak menghidap kencing manis tetapi kerana merokok,” katanya.

Menurutnya lagi, ramai yang tidak tahu, kandungan kimia yang terdapat di dalam asap rokok akan masuk ke dalam paru-paru perokok dan terus ke salur darah koronari pada bahagian jantung, lama-kelamaan menyebabkan salur jantung menjadi sempit.

“Kini penyakit arteri koronari (salur darah sempit) adalah pembunuh nombor satu di dunia dan Malaysia berbanding kemalangan dan kanser yang menduduki tangga kedua mencatatkan kematian sehingga hari ini,” tambahnya.

Menurut Dr. Zul lagi, arteri koronari yang terdapat di bahagian jantung adalah salur darah yang membekalkan darah ke jantung. Jantung manusia terdiri daripada serabut-serabut otot khusus yang bekerja untuk mengepam darah. Apabila otot jantung tidak mendapat bekalan darah yang cukup, ia menyebabkan seseorang itu terkena serangan jantung.

“Penyebab bekalan darah ke otot jantung tidak mencukupi adalah kerana saluran darah menjadi sempit kerana dinding sebelah dalam saluran darah dipenuhi lemak terutamanya kolesterol.

“Ada tiga saluran darah utama di mana dua salur darah terletak di sebelah kiri badan manakala satu lagi di sebelah kanan badan.

“Selain itu, pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat juga akan menjejaskan tahap kesihatan seseorang itu. Risiko untuk seseorang yang aktif bersukan mendapat serangan jantung begitu rendah berbanding dengan mereka yang kurang bersenam,” terang Dr. Zul Hilmi.

Bercakap mengenai simptom awal seseorang itu mengalami masalah arteri koronari, kata Dr. Zul Hilmi, biasanya mereka yang mengalami masalah jantung akan terasa sakit di bahagian belah tengah dada seperti orang menekan-nekan dada, tangan kiri terasa kebas dan lenguh, susah bernafas dan dalam waktu yang sama rasa seperti hendak muntah dan berpeluh.

“Jika seseorang itu ada simptom-simptom begini segeralah ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Jika dada rasa sakit pergilah ke hospital yang ada kelengkapan jantung sepenuhnya,” nasihatnya.

Menurut Dr. Zul Hilmi, jika seseorang itu disyaki terkena serangan jantung, rawatan untuk mereka dimulakan dengan prosedur ECG bagi mengesahkan jika benar mereka diserang penyakit jantung.

“Untuk mengatasi masalah salur darah sempit, rawatannya adalah koronari Angiogram dan Angioplasti dengan memasukkan belon dan stent (spring besi) untuk membuka laluan salur darah yang sempit supaya menjadi luas. Rawatan ini dibuat melalui pergelangan tangan ataupun paha pesakit. Setakat ini sudah ramai pesakit dibawah umur 40 tahun yang membuat stent ini.

“Proses memasukkan stent ini mengambil masa antara 45 minit hingga satu jam dan stent boleh bertahan untuk selama-lamanya. Jika banyak sangat salur darah yang sempit dua atau tiga stent boleh dimasukkan. Namun ia akan dilakukan secara berperingkat,” tambahnya lagi.

Ujarnya lagi, stent yang dipasang ini boleh menjadi sempit semula jika seseorang yang mempunyai kencing manis, darah tinggi, kolesterol yang tinggi tidak mengawal penyakit mereka.

Jika terlalu banyak salur darah yang sempit dalam badan seseorang itu, Dr. Zul Hilmi menyarankan supaya mereka melakukan pembedahan pintasan jantung (bypass).

“Walaupun seseorang itu tidak mempunyai tanda penyakit jantung namun mereka yang berumur 40 tahun ke atas adalah digalakkan membuat ujian jantung.

“Ujian yang kami lakukan ialah saringan ECG ataupun Exercise ECG, Stress test menggunakan kaedah larian atas treadmill. Selain itu, ujian darah, kolesterol dan gula juga turut dibuat. Jika hasil ujiannya normal, seseorang itu disarankan datang semula untuk membuat ujian setahun sekali,” jelasnya.