HAMPIR lemas beberapa kali ketika kecil menjadi asbab kepada pelakon dan penyanyi Shiha Zikir trauma terhadap air walaupun usianya kini sudah mencecah 34 tahun.

Menerusi perkongsian Shiha di laman Instagramnya, dia memuat naik sebuah video pendek di mana dia kelihatan ketakutan sebaik sahaja masuk ke dalam sebuah kolam renang.

Malah, pelakon drama Perisik Cinta Tak Diundang itu menyifatkan ada individu yang melihatnya serta terdapat jerung akan menyerangnya ketika berenang di dalam air.

“Untuk yang minta video saya takut air, ini untuk anda. Jangan gelak! Rasa macam ada ikan jerung hendak makan saya. Selain itu seperti ada hantu atau orang tengok (mengintai) di celahan lubang (pada tepi kolam).

“Saya memang fobia pada air kerana pernah beberapa kali berdepan dengan detik cemas apabila hampir lemas.

“Saya pernah hampir lemas dalam baldi sewaktu kecil. Pernah juga lemas ketika di laut. Sehingga sekarang takut air,” katanya.

Sementara itu, tinjauan URTV ke ruangan komen mendapati, rata-rata netizen dan rakan artis terhibur dengan gelagat yang mencuit hati oleh pelantun lagu Irama itu.

“Takut lebih dari aku lagi rupanya, hahaha sama lah aku rasa macam-macam binatang dalam air itu,” kata @Ainilhana.

“Tak mengapa kak Shiha, kita faham rasa itu. Tapi ada ke ikan jerung dalam kolam renang itu? Hahaha,” ujar @Whoisratu.

“Hahaha awak sangat comel lah sayang,” komen @Airin.