REBIU BUKU

DALAM filem ‘The Usual Suspects’ terdapat satu watak misteri. Namanya Keyser Soze. Namun watak-watak utama dalam filem ini bukan hanya sekitar dirinya tetapi lima orang penyamun atau perompak.

Bagaimanapun, filem ini boleh digunakan untuk membuat analogi mengenai perkembangan politik negara, termasuk berkaitan ‘Langkah Sheraton’ yang mengubah landskap politik negara baru-baru ini.

Seperti mana kita juga mengetahui keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah berlalu. Parti mana yang menang besar, yang terlungkup, termenung, tertiarap dan sebagainya, pun kita sudah tahu.

Tapi yang paling menarik ialah PRN Johor ini menunjukkan bahawa Langkah Sheraton masih belum tamat. Ia tidak akan tamat. Mungkin sampai bila-bila. Paling tidak, akan disumpah, ditelanjang, disula atau dipelaminkan.

Apakah parti-parti dan watak-watak tertentu yang terlibat dalam Langkah Sheraton sedang dihukum dan`dibunuh’ oleh rakyat dalam PRN Johor?

Dalam filem ‘The Usual Suspects’, lima orang penjenayah a.k.a penyamun telah gagal dalam operasi merompak yang diarahkan oleh Keyser Soze. Akibatnya, selepas itu. mereka dibunuh seorang demi seorang dalam keadaan misteri.

Yang terselamat cuma seorang. Namanya Verbal Kint. Lalu keterangannya diambil polis dan… persoalan mendebarkan pun bermula: Siapa Keyser Soze, si perencana jenayah?

Bagaimana pula kaitannya dengan ‘Langkah Sheraton’? Saya petik beberapa bahagian daripada buku Tujuh Malam Panjang: Saga Sheraton.

“… awalnya Mahathir tidak bersungguh. Malah perencana tersebut dimarahi oleh Mahathir. Namun selang beberapa hari, Mahathir memanggilnya semula dan mendengar penuh teliti idea yang dikemukakan. Mahathir juga diberi jaminan yang peranannya hanyalah sebagai ‘endoser’ (pengesah). Kebiasaannya, sikap Mahathir ialah dia akan memanggil seseorang itu beberapa kali jika beliau mengambil berat apa yang cuba disampaikan.” – Informan A.

… Mahathir sejak awal lagi merasakan beliau tidak dapat bergantung kepada Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan agenda Melayunya. Oleh kerana itu beliau membawa masuk Ahli Parlimen Umno ke dalam Bersatu dan mula bersekongkol dengan Pas dan Umno. Namun Anwar mengetahui plot ini dan…

Maka terjadilah apa yang telah terjadi dan PH pun tumbang. Tidak mampu bangun lagi.

Sudah lebih dua tahun berlalu, kerajaan gabungan aktor-aktor Sheraton tidak berhenti bergaduh, namun sehingga kini kita masih mencari-cari siapa sebenarnya Keyser Soze, si dalang Langkah Sheraton?

Keyser Soze adalah watak misteri dan kejam dalam The Usual Suspects, tapi tiada siapa tahu siapa dirinya yang sebenar. Begitulah dalam Langkah Sheraton.

Berdasarkan klip-klip audio mesyuarat parti Bersatu yang dibocorkan, juga kenyataan individu-individu yang terlibat dalam peristiwa ini, ada yang berkata, ia adalah Mahathir. Ini kerana karakternya sama dengan Keyser Soze.

Beliau dikatakan kejam, sanggup ‘membunuh’ keluarganya sendiri (PH dan Mukhriz) asalkan dapat mengalahkan pesaingnya (Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PH).

Ada yang kata, Keyser Soze Sheraton ialah Tan Sri Hamzah Zainuddin (Menteri Dalam Negeri/Setiausaha Agong Bersatu). Mungkin juga Datuk Seri Azmin Ali (peminpin PKR yang berpaling tadah) dan berperang dengan Anwar.

Atau Senator Zahid Mat Arip, bekas orang kuat Mahathir yang keras kepala, bencikan Anwar dan menjadi penggerak Langkah Sheraton? Tidak kurang yang meneka, si Keyser Soze ialah Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (Menteri Pertahanan). Menggerakkan dari jauh dan cepat saja menafikan penglibatannya? Bukankah lumrah, selalunya nafi itu bermaksud `Ya’?

Yang menarik, ada yang mengatakan Keyser Soze Langkah Sheraton ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliaulah yang mengatur segala-galanya. Macam-macam suis ada di tangannya.

Atau…

“Siapa lebih bijak? Hehehe…” – mesej yang dihantar oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada YB Shah Alam, Khalid Samad, selepas dirinya dilantik menjdi Perdana Menteri?

Langkah Sheraton masih belum berakhir. Ia memberi kesan panjang kepada negara dan watak-watak pelakunya akan terus diingati dengan pelbagai emosi… marah, suka, sokong dan dendam.
Keyser Soze tidak akan mendedahkan dirinya.

Bab Keyser Soze dalam buku Saga Sheraton ini memang best. Berdebar dada. Ada juga disentuh mengenai konspirasi pembunuhan Puteri Diana dan John F. Kennedy yang terus menjadi tanda tanya sehingga kini.

Banyak lagi bab menarik, misalnya peranan DAP, Kingmaker, Perdana Menteri Interim, Muafakat Nasional dan sebagainya, agar kita memahami cerita-cerita dalam kelambu Langkah Sheraton dan kesan panjangnya kepada negara.

Apa kaitannya dengan PRN Johor? Yang saya nampak, pelaku-pelaku Langkah Sheraton seperti sedang dimakan sumpah dan `terbunuh’, seorang demi seorang.

Mungkin Keyser Soze pun turut dimakan sumpah dan akan terbunuh. Atau… Keyser Soze tak akan mati sebab sebenarnya ada beberapa orang Keyser Soze, tapi dengan suis dan skrip yang berbeza.

Hehehe… siapa lebih bijak?

Buku Tujuh Hari Panjang : Saga Sheraton melihat peristiwa ini dalam pelbagai sudut dengan fakta-fakta akademik.

Buku ini akan terus relevan sampai bila-bila. 

Mereka yang berminat untuk mendapatkan buku Tujuh Hari Panjang: Saga Sheraton bolehlah menghubungi  Tel : 013-6051949 (Pumpkin Street Bookline)  atau di akaun shopee : Pumpkin Street Bookline / pumpkinstreet.os

• Buku ini diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaysia (2020).

• Harga : RM64 termasuk pos (sem.)

• Filem The Usual Suspects (1995) diarahkan oleh Bryan Singer.

Oleh : Zulkarnain Zakaria

#pumpkinstreetbookline

—————————–

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam