Saat sebelum memulakan perjalanan, telah dijelaskan supaya setiap apa tindakan yang dilakukan jangan sesekali ditanya mengapa? Apa yang perlu hanyalah diam sahaja. Ini yang disebutkan dalam surah al-Kahfi: 70 dan 71
“Dia selanjutnya mengingatkan, “Jika kamu mengikuti ku, maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu apa pun sehingga aku sendiri menerangkan kepadamu” Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa berkata, “Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar.”
Kisah Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khidir yang disebutkan dalam al-Quran membawa konotasi tentang perbuatan Nabi Khidir a.s. yang dianggap zalim oleh Nabi Musa a.s. Baginya perbuatan itu tidak seharus berlaku kerana terdapat unsur penganiayaan terhadap pemilik sampan. Namun hakikat yang jelas, perbuatan Khidir a.s. tidak lain hanya untuk membantu supaya pemilik sampan tidak menghadapi masalah yang besar dengan pemerintah zalim.
Mengambil sedikit inti pati dari kisah di atas, adakah perbuatan buruk dengan maksud yang baik dapat diterima sekalipun perbuatan itu dilihat zalim, Hafiz Noramli Halimi, Pensyarah Pengajian Islam, Kolej Poly-Tech Mara, berpandangan bahawa kisah yang disebutkan dalam al-Quran ini tidak lain merupakan wahyu dari Allah yang mengandungi pelbagai hikmah dan pelajaran. Maka itu tiada unsur penganiayaan atau kezaliman yang dilakukan.
Walaupun begitu, berbalik kepada soalan asas adakah boleh sesuatu penganiayaan dilakukan dengan tujuan yang baik maka jelasnya, secara umumnya, penentuan aniaya dan zalim mestilah berdasarkan kepada batasan, hak dan aturan yang telah ditetapkan oleh agama Islam.
Sekiranya ia dilanggar atau dikurangkan pada kadar yang sepatutnya diterima atau diberikan, maka, ia dikira sebagai penganiayaan. Contohnya dalam perkara yang melibatkan jual beli. Seorang peniaga yang mengurangkan timbangan, secara jelas ia telah mengurangkan hak yang sepatutnya diterima oleh pembeli. Oleh itu peniaga tersebut telah menzalimi pelanggannya.
Tuntasnya, sebagai manusia biasa, kita sememangnya terikat dengan hukum hakam yang digariskan agama dan tidak boleh sesekali melangkaui batasan tersebut. Sekalipun niat dan tindakan yang dilakukan itu mempunyai tujuan yang sangat baik dan murni, namun ia tidak sesekali boleh membuat sesuatu yang dilarang atau membuat aniaya kepada sesiapa sahaja. Dengan maksud yang paling jelas dalam syariat Islam “matlamat tidak menghalalkan cara”

Makbul Doa Si Fasiq
Manakala bagi orang yang teraniaya, mereka akan diangkat pada kedudukan paling tinggi di sisi Allah apabila doa-doa mereka diterima tanpa ada sebarang halangan, sebagaimana dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah r.a. berkata. Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Ada tiga doa mustajab (dimakbulkan) yang tidak ada keraguan di dalamnya iaitu, doa orang yang dizalimi, doa orang yang bermusafir dan doa buruk orang tua kepada anaknya” HR Abu Daud & Tirmizi
Sekalipun orang yang teraniaya itu fasiq, doanya tetap diterima Allah. Hal ini disebutkan lagi dalam hadis riwayat Anas b. Malik r.a. dari Baginda s.a.w. bersabda,
“Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang yang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang di antaranya untuk diterima oleh Allah” HR Ahmad
Selain itu terdapat hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bersabda Baginda s.a.w.
“Doa orang yang dizalimi adalah diterima sekalipun doa dari orang jahat. Kejahatannya itu memudaratkan dirinya dan tidak memberi kesan pada doa tadi.” Hadis Hasan riwayat at-Tayalasi.
Dari kedua hadis ini, jelas menunjukkan bahawa walaupun dia seorang kafir atau fasiq, namun kerana kedudukannya sebagai seorang yang dizalimi, doa yang diucapkan tetap juga makbul tanpa ada sekatan.
Kerana itu juga Baginda s.a.w. telah memberi amaran agar berwaspada terhadap doa orang yang dizalimi. Ini disebutkan dalam hadis riwayat Ibnu Umar r.a. dari Baginda s.a.w.
“Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara” HR al-Hakim
Ulas Hafiz Noramli lagi, sepantas mana doa itu dimakbulkan hanya Allah yang mengetahui hakikatnya. Namun dalam beberapa hadis ada dijelaskan berkenaan cepat dan pantasnya penerimaan doa bagi orang yang dizalimi. Antaranya hadis riwayat daripada Imam at-Tirmizi,
“Ada tiga orang yang doanya tidak akan tertolak, orang yang berpuasa hingga ia berbuka, pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi. Allah akan angkat doa-doa tersebut di atas awan dan dibukakan untuknya pintu-pintu langit kemudian Allah berfirman, “Demi keperkasaan Ku dan keagungan Ku, Aku pasti akan tolong kamu walaupun setelah melalui suatu masa”.

Hadis ini, antaranya menjelaskan kepantasan penerimaan doa orang yang dizalimi dengan kiasan yang disebutkan Nabi s.a.w. “Allah akan angkat doa-doa tersebut di atas awan dan dibukakan untuknya pintu-pintu langit”. Setelah itu, Rasulullah s.a.w. menyambung perbicaraannya dengan firman Allah s.w.t.: “Demi keperkasaan-Ku dan keagungan-Ku, Aku pasti akan tolong kamu walau pun setelah melalui suatu masa”.
Hadis lain daripada Sayyidina Abdullah Ibnu Umar turut menjelaskan kepantasan doa orang yang dizalimi persis marak api yang naik ke udara. Sabda Baginda s.a.w.
“Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara” HR al-Hakim
Walau bagaimanapun, di dalam kitab Fath al-Bari ada dijelaskan berkenaan hal orang yang berdoa itu, mempunyai tiga peringkat utama iaitu:
Pertama, kemungkinan dipercepat perkenan permintaannya.
Kedua, kemungkinan doanya disimpan Allah dan diganti dengan sesuatu yang lebih baik.
Ketiga, kemungkinan dia dihalang dan dilindungi Allah daripada ditimpa keburukan seumpamanya.
Justeru itu bagi seseorang yang merasakan ia sedang dizalimi atau dianiaya, janganlah gundah dan kecewa dengan nasib yang menimpa. Sesungguhnya ketika itu Allah sedang menguji ketakwaannya dan ingin memberi kurniaan kepadanya.
____________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare