GARA-gara orang ketiga, hubungan yang dibina atas dasar cinta akhirnya putus ditengah jalan. Meskipun berat, namun penyanyi dan pelakon Nabila Razali terpaksa ‘menelan’ semua kepahitan itu.

Biarpun pengalaman tersebut berlaku ketika dia masih belum bergelar artis, namun parut ‘luka’ akibat ditanggilkan masih berbekas dalam hatinya sehingga kini.

“Sebenarnya kisah putus cinta ini dah lama berlaku. Ketika ini kami sempat bercinta dalam setahun dan waktu itu saya masih belum bergelar artis.

“Kami putus disebabkan adanya orang ketiga dalam perhubungan dan akhirnya saya ditinggalkan tanpa khabar berita sehinggakan saya ketika itu tertanya-tanya adakah kami masih ada hubungan atau sebaliknya,” katanya kepada URTV.

Menurut pelantun lagu Putus itu lagi, dia kini sudah berada dalam fasa ‘move on’ dan sehingga kini masih belum terfikir untuk mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki.

“Masing-masing sudah bawa haluan sendiri…saya pun dah ‘move on’. Namun ada beberapa hal yang saya tak boleh lupa.

“Ibaratnya seperti luka mungkin dah hilang tapi parut itu masih ada. Tapi saya tak simpan dendam cuma saya masih tak boleh duduk semeja dengan dia lagi.

“Sekarang ini saya lebih banyak fokus kepada karier seni. Selepas ini ada beberapa perancangan lagi yang akan saya kongsikan berkenaan perkembangan kerjaya seni.

“Kalau ditanya tentang cinta baru, memang buat masa ini saya tak fikirkan soal itu memandangkan terlalu sibuk merencanakan tentang masa depan kerjaya saya,” ujarnya.

Nabila berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran novel Kerana Cinta Itu Ada di Bookxcess, MyTown, semalam.

Berbicara tentang novel hasil karya novelis terkenal Sophilea, kata Nabila atau Nur Nabila Mohd. Razali, 50 peratus daripada kisah penceritaan diambil daripada kisah sebenar dirinya.

“Novel Kerana Cinta Itu Ada merupakan idea asal saya sendiri dan kemudian digarap oleh Sophilea. Dia mengambil masa selama sebulan untuk menyiapkan novel ini.

“Saya suka untuk kongsi pengalaman cinta sendiri dan saya yakin setiap individu ada kisah cinta masing-masing yang boleh dikaitkan dengan novel ini.

“Biasanya kalau saya nak sampaikan isi hati, akan gunakan dalam bentuk nyanyian. Tetapi berbeza untuk kali ini apabila saya menghasilkan sebuah novel.

“Harapnya mereka yang membaca dan pernah lalui pengalaman sama seperti saya, akan terus bersemangat untuk bangkit dan tidak terus larut dibuai kekecewaan,” tuturnya.

Novel Kerana Cinta Itu Ada diedarkan oleh Mask Team dan boleh didapati secara dalam talian https://keranacintaituada.onpay.my/ bermula 14 Mac dengan harga RM35 bagi Semenanjung Malaysia, manakala RM38 di Sabah dan Sarawak serta akan dijual di kedai buku seluruh Malaysia tidak lama lagi.