MODEL terkenal Amerika, Bella Hadid, 26, meluahkan rasa kesal dengan tindakannya yang pernah melakukan pembedahan plastik di bahagian hidung ketika berusia 14 tahun.

Dalam satu sesi temu bual bersama majalah Vogue, Bella berharap masih mengekalkan bentuk asal hidungnya itu bagi mewarisi keturunan nenek moyangnya.

“Saya berharap saya masih lagi ‘simpan’ hidung nenek moyang saya. Saya fikir akan terbiasa dengan hidung lama saya,” katanya.

Malah, Bella turut menyifatkan fizikal wajah yang dimilikinya itu tidak secantik berbanding kakaknya, Gigi Hadid yang juga merupakan model terkemuka dunia.

“Saya merupakan adik yang hodoh. Rambut saya coklat gelap. Saya tak ‘cool’ macam Gigi, tak ramah.

“Apabila kita diberitahu tentang sesuatu hal banyak kali, kita pun percaya. Saya selalu tanya diri saya, macam mana seorang gadis yang ada masalah kurang keyakinan, kemurungan, benci disentuh, sering gementar dan masalah pemakanan boleh terjebak dalam industri (fesyen),” ujarnya.

Dalam pada itu, anak kedua daripada tiga beradik itu menegaskan dia tidak melakukan pembedahan plastik pada bahagian mata dan rahang seperti yang didakwa oleh netizen.

“Orang ramai fikir saya dah musnahkan muka saya kerana mereka membandingkan gambar waktu remaja saya yang nampak kembang.

“Saya tidak menggunakan filler (satu rawatan suntikan pada bahagian muka). Tamatkan spekulasi ini.

“Sesiapa pun yang berfikir saya menaikkan mata itu semua adalah face tape iaitu satu trik lama (teknik solekan menaikkan wajah),” jelasnya lagi.

Untuk info, Bella merupakan anak kepada pemaju hartanah berketurunan Palestin, Mohamed Hadid dan ibunya, Yolanda Hadid adalah bekas peragawati.

Selain Gigi, Bella turut mempunyai seorang lagi adik-beradik iaitu Anwar Hadid.