amalan malam nisfu syaaban
Malam nisfu Syaaban adalah malam yang penuh barakah

Bulan Syaaban adalah bulan yang cukup mulia kerana di bulan ini banyak kelebihan yang Allah kurniakan kepada hambanya yang berbuat ibadah. Malah dalam bulan ini juga Baginda s.a.w. akan memperbanyakkan puasa berbanding bulan-bulan yang lain.

Bukan sekadar itu, malah di dalam bulan ini segala amalan yang kita lakukan akan diangkat dan dipersembahkan kepada Allah S.W.T. sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis Baginda s.a.w.

“Usamah bin Zaid bertanya kepada Rasulullah s.a.w., “Wahai Rasulullah! Aku tidak pernah melihat tuan banyak berpuasa dalam sebulan seperti tuan berpuasa di dalam bulan Syaaban.” Lalu dijawab Baginda s.a.w., “Bulan Syaaban itulah satu bulan yang sering diambil lewa oleh kebanyakkan manusia yang diapit oleh bulan Rejab dan Ramadhan. Dia juga adalah bulan yang diangkat di dalamnya segala amalan ke hadrat Tuhan sekalian alam. Maka itu aku sangat suka jika diangkat amalanku di dalam keadaan aku sedang berpuasa” (Musnad Ahmad dan sunan Nasa’i)

Malah isteri kesayangan Baginda s.a.w. iaitu saidatina Aisyah r.ha turut menceritakan bahawa Baginda s.a.w. melengkapkan puasa penuh sebulan di dalam bulan Ramadhan dan sangat banyak sekali berpuasa di dalam bulan Syaaban. (HR Bukhari dan Muslim)

Di dalam bulan Syaaban juga terdapat satu waktu yang sangat digalakkan untuk dihidupkan dengan amal ibadah pada malamnya iaitu pada malam nisfu Syaaban. Pada malam tersebut dianggap begitu istimewa kerana ia dikhaskan oleh Allah dengan tawaran pengampunan sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis dari Muaz bin Jabal r.a. bahawa Baginda s.a.w. bersabda,

“Allah menjenguk hamba-hambanya pada malam nisfu Syaaban dan mengampuni semua makhluknya kecuali orang yang mensyirikkan Allah dan orang yang masih bersegketa dan bertelagah” (HR Ibnu Hibban dan Tobroni)

Dalam riwayat lain daripada Abu Musa al-Asya’ri r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah S.W.T. menilik (hamba-hambanya) pada malam nisfu Syaaban, lalu diampunkan seluruh hamba-hambanya melainkan orang yang melakukan syirik dan orang munafik” (HR Ibnu Majah)

Semestinya tawaran pengampunan dari Allah S.W.T. itu berasaskan kepada amalan-amalan soleh yang dilakukan hamba-hambanya  sebagaimana yang disebut dalam hadis Baginda s.a.w.

“Apabila datangnya malam nisfu Syaaban maka hendaklah kamu bangun mendirikan solat-solat sunat pada malamnya dan melaksanakan puasa sunat pada siang harinya. Kerana sesungguhnya Allah turun ke langit dunia pada malam tersebut bermula dari terbenamnya matahari” HR Ibnu Majah

Oleh itu sangat digalakkan dan dituntut agar semua umat Islam dapat menghidupkan malam nisfu Syaaban bagi meraih tawaran terhebat dari Allah S.W.T. dengan berlumba-lumba melakukan amal ibadah seperti memperbanyakkan bacaan al-Quran, berzikir, berdoa dan mendirikan solat-solat sunat sebagaimana yang terdapat dalam hadis Baginda s.a.w. Semoga kita beroleh keberkatan Syaaban. Wallahu a’lam  

______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare