Datuk Onn Hafiz Ghazi, bersama Datuk Seri Hasni Mohammad dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menghadiri majlis makan malam UMNO Johor sempena kejayaan cemerlang pada PRN Johor lalu, semalam. GAMBAR: FB Onn Hafiz

MENTERI Besar Johor yang baharu, Datuk Onn Hafiz Ghazi memohon restu serta pertolongan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad untuk memimpin negeri tersebut.

Pada masa sama, Onn Hafiz juga memohon bantuan semua kepemimpinan UMNO Johor untuk sama-sama membawa negeri itu ke era lebih gemilang.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Hasni; Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan kepimpinan akar umbi yang banyak berjasa dalam membawa kemenangan kepada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Saya dengan rendah diri memohon restu dan pertolongan Hasni dan semua kepimpinan UMNO Johor untuk sama-sama kita bawa Johor ke era lebih gemilang.

“Insya-Allah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Malam tadi, Onn Hafiz menyertai Hasni, Hishammuddin dan kepimpinan UMNO Johor lain dalam majlis makan malam sempena Persidangan Agung UMNO (PAU) 2021.

Pada PRN Johor Sabtu lalu, Onn Hafiz, 44, yang merupakan anak saudara Hishammuddin menewaskan tiga pencabarnya di kerusi DUN Machap dengan majoriti 11,029 undi.

Baca artikel berkaitan: Hasni contoh sikap negarawan sejati – Pemuda UMNO

Beliau juga merupakan cicit kepada pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar serta cucu kepada bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn.

Dalam PRN Johor lalu, BN menang dengan majoriti dua pertiga dan menamakan Pengerusi BN negeri, Datuk Hasni Mohammad sebagai calon Menteri Besar.

Bagaimanapun, Onn Hafiz 44, mengangkat sumpah Menteri Besar Johor ke-19 Selasa lalu di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

ADUN Machap itu berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari sebuah universiti di United Kingdom (UK).

Pada awal kariernya, Onn Hafiz pernah berkhidmat di sebuah firma perakuanan terkemuka dan kemudian terlibat dalam sektor korporat.

Sebelum PRU-14 lalu, Onn Hafiz merupakan Exco Pemuda UMNO dan Setiausaha Politik kepada Hishammuddin.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram