Selepas disuntik vaksin

SEBANYAK 15,425,524 individu dewasa atau 65.6 peratus daripada populasi kumpulan itu di negara ini telah menerima dos penggalak COVID-19 setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 25,782,213 atau 97.5 peratus daripada populasi sama telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,216,630 or 98.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, sebanyak 1,221,990 individu atau 34.4 peratus kumpulan itu telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,841,412 individu atau 91.3 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,940,403 atau 94.5 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Vaksinasi harian semalam menyaksikan sebanyak 46,039 dos diberikan semalam meliputi 13,256 dos pertama; 2,166 dos kedua dan 30,617 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 68,376,641.

Baca artikel berkaitan: 35 peratus populasi dewasa belum terima dos penggalak – KJ

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 59 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Perak tertinggi iaitu 15 kes, diikuti Selangor 12 kes, Johor (11), Kelantan (enam) dan Melaka (lima).

Selain itu, Pahang melaporkan (tiga) kes, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sarawak masing-masing melaporkan dua kes manakala satu kes direkodkan di Kedah.

— BERNAMA