KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yakin penggiat industri pelancongan sudah bersiap sedia bagi menerima pelancong dari luar apabila sempadan negara dibuka semula mulai 1 April.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebelum keputusan membuka sempadan dibuat lagi, pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan penggiat industri pelancongan.

“(Ya saya yakin) penggiat industri sudah bersedia. Sebelum kerajaan umum buka sempadan saya minta mereka bersedia dalam pelbagai aspek termasuk menaik taraf fasiliti mereka,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Kampus Satelit Institut Kraf Negara, Sarawak di sini hari ini.

Sebelum ini dilaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan negara akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ serta pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April depan.

Susulan pengumuman itu, Nancy pada 16 Mac lepas berkata MOTAC menyasarkan kedatangan dua juta pelancong ke Malaysia pada tahun ini dengan keuntungan melebihi RM6.8 bilion.

Baca artikel berkaitan: Penggiat industri perlu buat persedian awal – Nancy

Sementara itu, Nancy berkata, bagi mencapai sasaran kedatangan dua juta pelancong itu, MOTAC telah merangka pelbagai strategi bagi mencapai sasaran tersebut.

Jelasnya ini termasuk memberi fokus pada penganjuran acara perniagaan atau mesyuarat perniagaan, insentif, persidangan dan pameran (MICE).

“Ini antara cara kita untuk membawa pelancong datang, kita juga telah berjaya memperoleh beberapa acara perniagaan untuk dianjurkan di Malaysia.

“Kalau kita hanya fokus pelancongan biasa sahaja mungkin sukar untuk capai jumlah pelancong yang tinggi, jadi kita perlu wujudkan peluang (anjur MICE) untuk bantu penggiat industri,” katanya.

— BERNAMA