Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. GAMBAR: Abd Razak Aid

UMNO komited untuk kembali mendapat mandat daripada rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menerusi Projek 1, 2 dan 3.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek tersebut secara tersiratnya mempunyai tiga perkara penting yang perlu dicapai secara bersama.

Perkara penting pertama menurut beliau adalah merujuk kepada matlamat besar UMNO untuk kembali menjadi kerajaan.

“Keduanya, kita mahu menjadi kerajaan di dua peringkat iaitu negeri dan persekutuan.

“Yang ketiga adalah kita mesti melakukan persediaan tiga serangkai di tiga peringkat,” katanya dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berakhir hari ini.

Baca artikel berkaitan: “Saya orang parti, darah saya darah UMNO” – PM

Mengulas lanjut mengenai persediaan tiga serangkai, Ahmad Zahid berkata, UMNO mesti diperkemaskan daripada segi dalaman parti.

Menurut beliau, parti perlu mencari bakat baharu dan terus melatih mereka sebagai persiapan menghadapi PRU-15.

Tambahnya, untuk mencapai objektif tersebut, UMNO akan mewujudkan Sekolah Politik yang akan berpusat di Universiti Malaya.

“Sekolah politik ini mesti menjadi tarikan baharu yang berupaya menangkap imaginasi dan kreativiti generasi zaman sekarang.

“Ia harus menjadi platform yang terbuka untuk membincangkan aspirasi kepada tanah air. Ia mesti dipacu oleh teknologi,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO dan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) perlu bersedia menghadapi parti lawan yang semakin banyak.

Ujar beliau, strategi terbaik perlu dirangka untuk menguasai dan memenangi perlumbaan-perlumbaan mendekati rakyat di media sosial.

Tambahnya, UMNO juga perlu mula membina jaringan hubungandengan tokoh-tokoh berwibawa dari dalam dan luar negara untuk bersama-sama membina serta memperjuangkan agenda rakyat.

“Projek 1,2,3 ini secara tersurat dan tersiratnya bermaksud, kita mahu menawan sekurang-sekurangnya 123 kerusi parlimen!

“Bukan dengan manifesto kosong akan tetapi pengisian yang lebih bermakna kepada rakyat,” katanya.