Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: Abd Razak Aid

PEMBAYARAN Fasa 1 Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang berjumlah hampir RM2 bilion akan dilakukan secara berperingkat bermula 28 Mac ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 8.6 juta penerima akan mendapat bayaran sebanyak RM100 hingga RM300 berdasarkan kelayaan setiap penerima.

Jelas Perdana Menteri, jumlah itu merangkumi empat juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang.

“Bagi memastikan program BKM disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 2 Mei 2022 untuk tempoh sebulan.

“Proses ini adalah bagi mempertimbangkan semula permohonan yang tidak diluluskan.

“Kita memberi ruang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh LHDNM.

“Kerajaan sentiasa peka dengan keperluan semasa dan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: BKM manfaat 9.6 juta penerima tahun ini

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, lebih 9.6 juta penerima mendapat manfaat BKM tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion.

Katanya, jumlah itu meningkat daripada 8.6 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM7 bilion di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) pada tahun lalu.