Anggota KPDNHEP memeriksa sebuah lori semasa serbuan ke atas aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam dua siri serbuan serentak di Klang dan Pelabuhan Klang, Jumaat lalu. Foto KPDNHEP

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan satu aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam dua siri serbuan serentak di Klang dan Pelabuhan Klang, Jumaat lalu.

Sejumlah 40,390 liter cecair disyaki minyak diesel, dua buah lori, beberapa unit saluran paip getah, tiga buah compressor, dua buah telefon bimbit dan satu set dekoder CCTV disita membabitkan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM207,835.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, serbuan dilakukan ke atas stesen minyak di Kota Bayuemas dan sebuah premis tanpa nombor beralamat di Kampung Baru, Telok Gong.

Katanya, semasa serbuan pertama di stesen minyak berkenaan, terdapat sebuah lori sedang mengisi minyak diesel bersubsidi di dua buah pam berasingan dan pemandu lori gagal mengemukakan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat dua buah tangki tambahan berbentuk empat segi di ruangan muatan lori terbabit yang mengandungi
cecair disyaki minyak diesel telah ditemukan.

“Dalam serbuan lain, sebuah premis tanpa nombor disyaki stor haram penyimpanan minyak diesel yang tidak dilesenkan Kampung Baru, Telok Gong diperiksa.

“Ketika serbuan, aktiviti pemindahan cecair disyaki minyak diesel daripada sebuah lori ke dalam tiga buah tangki yang ditemukan di dalam kawasan tersebut sedang dilakukan.

“Pihak premis juga gagal mengemukakan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi berurusan secara borong atau runcit barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azman berkata, dua individu lelaki warga tempatan masing-masing berumur 24 dan 35 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori di dua premis serbuan ditahan bagi membantu siasatan.

Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenalpasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut bermula daripada stesen minyak berkenaan sehinggalah ke stor haram terbabit seterusnya ke
peringkat pembeli.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3 juta.

Tegasnya, KPDNHEP juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen berkaitan barang kawalan dan kebenaran PDA oleh syarikat yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan dan keputusan kes dimuktamadkan.

“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

“Jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau menambah, KPDNHEP memberikan amaran keras kepada semua pengusaha atau peniaga bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini.