Tangkap layar video Toyota Hilux yang melakukan buli jalan raya. - Gambar Bernama

POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai memandu kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux secara berbahaya sehingga hampir menyebabkan kemalangan di Km138.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada 11.30 pagi semalam ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT bagi membantu siasatan kejadian.

Baca artikel berkaitan: 3 maut dalam kemalangan di Lahad Datu

“Siasatan lanjut mengenai kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Shafee dilapor berkata berdasarkan rakaman video berdurasi satu minit 35 saat yang tular menerusi laman sosial, kenderaan pacuan empat roda bernombor pendaftaran PMX3338 tersebut telah melakukan buli jalan raya dengan menghimpit sebuah kenderaan yang tidak pasti nombor pendaftarannya sehingga hampir menyebabkan kemalangan.

— BERNAMA