Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sudah pun mengeluarkan kompaun kepada Mentor DAP, Lim Kit Siang kerana didakwa berpelukan dengan ahli-ahli parti itu semasa Kongres DAP, Ahad lalu.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam ciapan di akaun Twitter miliknya, hari ini.

Khairy menjawab persoalan dibangkitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam media sosialnya mengapa Kit Siang tidak didenda kerana berpelukan dengan ahli DAP lain dalam kongres tersebut.

Ia susulan laporan bahawa Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu serta Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir dalam majlis tersebut telah disahkan positif COVID-19, semalam.

Pada masa sama, Khairy turut meminta Najib supaya membayar satu kompaun dikeluarkan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu yang masih belum diselesaikannya.

Malah, Ahli Parlimen Rembau itu juga berharap Najib telah pun menerima empat lagi kompaun yang dihantar melalui pos daftar setelah pegawai Najib enggan menerima kompaun berkenaan sebelum ini.

“Kompaun sudah dikeluarkan kepada Kit Siang. KKM juga harap Najib bayar satu kompaun yang dikeluarkan semasa PRN Johor yang masih belum settle.

“KKM juga harap Najib menerima empat lagi kompaun yang dihantar melalui pos daftar yang pegawai DS (Datuk Seri) enggan terima sebelum ini,” katanya dalam ciapan berkenaan.

Baca artikel berkaitan: Khairy ucap tahniah kepada pasukan pembedahan HTA

Menjawab perkara itu di Facebook, Najib turut mempersoalkan mengapa hanya Kit Siang sahaja yang dikompaun sedangkan ramai yang dilihat berpelukan.

Beliau turut memberi jaminan akan membayar semua kompaun yang telah dikenakan terhadap dirinya.

Semalam, Najib dalam hantaran di Facebook mempersoalkan mengapa Kit Siang dan ahli-ahli DAP lain yang dilihat berpelukan tidak disaman KKM.

Walaupun mendoakan kesembuhan Kit Siang, namun Najib berpandangan perkara itu tidak adil sedangkan artis yang dilihat berpelukan semasa Anugerah Juara Lagu (AJL) baru-baru ini pun telah dikompaun kerana berpelukan di atas pentas.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram