Kerajaan bersetuju memberikan DBP kuasa penguatkuasaan bagi menangani isu kesalahan bahasa seperti diumumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Sabtu lalu./Gambar hiasan media sosial

DI Perancis ada undang-undang bahasa dikenali Toubon Law.

Menerusi undang-undang itu, bahasa Perancis wajib digunakan dalam urusan rasmi, tempat kerja, pengumuman awam dan pengiklanan. Ada hukuman menanti jika ingkar.

Termasuk juga pada label produk. Bukan hanya produk tempatan tetapi juga pada label produk yang diimport. Bahasa lain adalah terjemahan.

Di Malaysia, masuklah pasar raya premium. Banyak produk luar negara kekal dalam bahasa asal negara pengeluar tanpa sepatah pun terjemahan bahasa kebangsaan.

Begitu juga di luar pasar raya, lihat papan tanda. Grocer, groceria misalnya sudah banyak mengambil alih perkataan pasar raya.

Kawasan letaknya pasar raya itu pula dinamakan ardence dan seangkatan. Malah di sebuah bandar, ada lokasi dinamakan Vista Verde.

Bunyi Portugis. Nasib baik pemaju tak pakai nama Cape Verde. Asalkan dengar macam di Eropah, walhal tak faham apa pun.

Apa salah dinamakan Kota Warisan misalnya. Maju juga dan pada masa sama meletakkan bahasa kebangsaan di tempatnya.

Hakikatnya soal salah ejaan, bahasa rojak dan lagi dahsyat bahasa asing yang lebih jelas di papan tanda daripada bahasa kebangsaan terus menyakitkan mata.

Makin hari makin banyak pula. Projek-projek ini sudah tentu dapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sedangkan dalam struktur pentadbiran, PBT adalah ‘penguat kuasa’ kepada penggunaan bahasa kebangsaan terutama di papan iklan.

Namun seperti dibangkitkan, Prof Datuk Dr Awang Sariyan, hampir kesemua PBT tidak mengutamakan pun bahasa Melayu.

Menerusi satu temu bual media pada Jun 2022, Awang Sariyan berkata, terdapat 150 PBT di Malaysia tetapi barangkali hanya 10 sahaja yang prihatin kepada bahasa kebangsaan.

Sedih bukan. Di dalam Perlembagaan Persekutuan (undang-undang tertinggi) sudah menyebut bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Tidak cukup dengan itu, dimantapkan dan diperincikan lagi dengan penggubalan Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Namun, isu bahasa termasuklah di papan tanda atau papan iklan masih belum dapat diselesaikan.

Sebab itu, Awang Sariyan yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengulangi permintaan supaya badan itu diberikan kuasa penguatkuasaan.

Tokoh-tokoh bahasa termasuk Dr Awang Sariyan (tengah) mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri Yaakob berkaitan pemerkasaan bahasa Kebangsaan di bangunan Parlimen 10 Mac lalu./Gambar PMO

Baca: PM bertemu tokoh bahasa bincang usaha martabat bahasa Melayu

DBP diperkasa, diberi kuasa penguatkuasaan bahasa – PM

Kata tokoh dan pejuang bahasa itu, tindakan ini penting bagi memastikan bahasa kebangsaan dihormati di Malaysia.

Permintaan ini bukan bercanggah norma, malah sangat wajar – seperti mana Perancis yang menggunakan segala mekanisme bagi mempertahankan kedudukan bahasa mereka.

Satu perkara perlu diberi perhatian, mahkamah negara itu juga memberi tafsiran luas peruntukan bahasa.

Pada masa sama pertubuhan-pertubuhan negara itu sedia untuk membuat desakan jika berlaku pengabaian.

Baca: Malaysia guna bahasa Melayu untuk setiap urusan rasmi negara – PM

Pinda Akta DBP: Tiga perkara utama dikemuka

Pengumuman Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2021 Sabtu lalu./Grafik berita RTM.

Justeru, kesungguhan ditunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memartabatkan bahasa Melayu perlu diterjemahkan semua.

Ini termasuklah hasrat DBP untuk mempunyai taring menerusi kuasa penguatkuasaan akhirnya tercapai di bawah kepimpinan Ismail Sabri.

Sudah tentu perlu disusuli dengan pindaan undang-undang. Sementara menanti semuanya selesai, iltizam semua sudah perlu bermula. Ingat, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram