PENGARAH terkenal Shahrulezad Mohameddin memohon kepada usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida untuk berhenti menjadi penunggang agama demi mahu mempromosikan single dan muzik video (MV) terbaharunya, Ku Ikhlaskan.

Shahrulezad atau lebih dkenali sebagai Budak Ijat berpendapat, Vida tidak sepatutnya menggunakan isu agama sebagai teknik pemasaran bagi menaikkan rating single berkenaan.

“Dengan rendah diri saya merayu. Tolong jangan tunggang agama kita, Datuk Vida…tolonglah.

“Duit RM 400,000 unutk buat MV itu lagi bagus sedekahkan dekat pusat tahfiz dan anak yatim daripada buat MV mahal-mahal macam itu.

ARTIKEL BERKAITAN : “Sarat dengan emosi duka lara…,” -Vida ajak berhibur sambil kumpul saham akhirat

“Lepas itu, pancing kami semua untuk sokong dengan gula-gulakan kami dengan strategi pemasaran murahan.

“Nak pujuk orang tengok MV Datuk, tak apa…buatlah. Tapi jangan buat cara melacurkan agama macam ini ya. Tolonglah,” katanya menerusi perkongsian di Instagramnya.

Ijat turut memohon maaf kepada Vida jika kata-katanya itu membuatkan dirinya terasa hati dengan teguran terbabit.

“Maaf kalau hujung-hujung saya terpaksa tegur juga sebab ia sudah keterlaluan.

“Kenyataan Datuk memang mencabar saya untuk tidak berkata apa. Maafkan saya kalau kata-kata saya ini mengguris hati dan peminat setia Datuk,” jelasnya.

Sebelum ini, Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman mengajak orang ramai untuk mengumpul saham akhirat.

Malah, Vida juga berhasrat untuk mengumpul dana bagi menyiapkan Pusat Tahfiz & Syahadah Al Zikri Wa Zuhdi di Meru, Ipoh, Perak dengan cara mengajak orang ramai menonton MV di Youtube.