PENERBIT dan pengarah Along Kamaludin melahirkan kekecewaan dan rasa jelek terhadap tindakan aktor Zul Ariffin yang memuat naik klip video babak panasnya dalam drama Perempuan Itu sehingga tular, baru-baru ini.

Along menyifatkan perbuatan itu sangat memalukan dan memberi implikasi buruk kepada pengarah dan pelakon lain.

“Bila terjadi perkara begitu, artis-artis akan dipandang rendah dan ia seolah-olah menjatuhkan maruah mereka.

“Orang luar akan menilai ‘Apa artis kita buat ini?’. Kita ini orang Melayu yang kaya dengan adat dan budaya.

“Kita tak sepatutnya melangkaui batas sebab kita bukan di Hollywood yang dibolehkan untuk buat adegan ‘panas’. Imej pengarah lain juga akan tercalar,” katanya kepada URTV.

ARTIKEL BERKAITAN : Zul Ariffin cetus kontroversi, kongsi babak panas ‘ala’ filem lucah! , Kebenaran akan didedahkan… – Erma Fatima , Zul Ariffin mohon maaf kongsi babak panas, janji akan lebih berhati-hati

Along ditemui ketika pada majlis pratonton program Ramadan stesen televisyen Awesome TV di Hotel Royale Chulan, Damansara, semalam.

Tambah Along, sebagai seorang tunggak utama dalam mengerakkan sesuatu jalan cerita, pengarah drama terbabit yang masih baharu dalam dunia pengarahan sepatutnya menonjolkan karya yang berunsur positif.

“Saya rasa drama itu diarahkan oleh seorang pengarah baharu sebab kalau pengarah lama, dia tidak akan berbuat demikian.

“Kerana pengarah lama akan fikir dua atau tiga kali apakah kesan yang akan terjadi selepas keluarkan klip video itu. Sebagai pengarah baharu sepatutnya kena menggambarkan perkara yang menaikkan industri kita bukannya perkara yang tidak elok.

“Cara yang dibuat itu telah menjatuhkan industri kita sendiri. Saya minta maaf kepada pengarah baharu tersebut tetapi inilah hakikatnya.

“Yang saya tak boleh terima dan tidak bersetuju dengan pengarah itu apabila dia mengatakan klip tersebut sebenarnya ‘director cut’. Bagi saya itu bukan ‘director cut’ tetapi sengaja dibuat,” ujarnya.

Malu dengan tindak-tanduk pengarah berkenaan, Along juga memberi pandangan jika pelakon berhak untuk menolak sekiranya pengarah meminta untuk melakukan adegan yang dirasakan keterlaluan.

“Bila pengarah suruh buat babak tidur bersama atau buka baju, sebagai pelakon kena berfikir dengan bijak.

“Sebagai pelakon, anda berhak untuk menolak adegan yang diraasakan berlebihan dan akan memberi kesan negatif kepada penonton.

“Perkara-perkara sedemikian hanya akan menjatuhkan dan mengaibkan industri seni kita. Jangan terlalu ikut budaya Barat yang kononnya lebih ke depan.

“Ya, memang betul kita kena melangkah ke satu tahap yang lebih baik dan bagus tetapi bukan dengan cara begini. Saya harap artis sedia ada dan yang baru, kena tahu dan perlu tahu kita ada hak untuk tidak buat sesuatu adegan yang dirasakan akan menjatuhkan imej industri,” tegasnya.

Mengulas lanjut trend sesetengah produksi yang membuat gimik murahan untuk mempromosikan karya terbaharu, Along berpendapat perbuatan itu amat memalukan.

“Saya rasa itu trend pihak yang memiliki IQ cetek. Tak semestinya bila kita nak mempromosikan karya hanya kerana mahu penonton tengok, kita tergamak buat perkara yang memalukan.

“Saya rasa kalau saya berada di tempat pengarah itu, saya malu kepada keluarga dan industri.

“Kenapa perlu buat begitu semata-mata untuk menaikkan promosi cerita? Ada banyak lagi cara yang kita boleh buat,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, drama terbaharu arahan Along iaitu Antara Ikhlas Dan Kaca bakal ditayangkan di Awesome TV sepanjang bulan Ramadan akan datang.

Drama tersebut dibintangi barisan pelakon seperti Luqman Hafidz, Wanna Ali, Aleza Shadan, Zain Hamid dan ramai lagi.