Islam dan Belum Islam Keliru
Sekadar gambar hiasan

Kekeliruan berkaitan Islam dan Muslim bukan sahaja ketara dalam kalangan bukan Islam, tetapi juga orang Islam. Tanpa ilmu yang betul, kita tidak akan mampu memperbetulkan tanggapan salah, atau merawat diri daripada kekeliruan itu.

Pada zaman Nabi s.a.w, apabila Baginda membacakan firman-firman Allah kepada orang ramai, mereka juga sangat keliru. Bagaimanapun melalui wahyu, kekeliruan tersebut terurai. Begitu juga hari ini, jika kita keliru, maka dengan wahyu, kekeliruan itu boleh menjadi jelas.

Wahyu adalah sumber segala ilmu. Al-Quran ialah firman Allah. Masalahnya sekarang, kita keliru dengan mengatakan, “Cukuplah dengan hanya membaca kitab itu.”  

Ada yang membaca dengan cukup baik, berserta taranum atau irama yang indah. Malangnya, apabila ditanya,

“Adakah saudara memahami maksudnya?” Mereka menjawab, “Itu tidak penting.”

Jawapan yang diberi tidak tepat sama sekali. Dalam al-Quran, Allah dengan jelas menyatakan dalam beberapa ayat, antaranya  

“Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu, penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan (merenungkan) ayat-ayatnya, dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran” (Shaad: 29).

Bagaimana seseorang dapat berfikir dengan mendalam tentang ayat-ayat Allah, jika dia tidak mahu mengerti maksud wahyu yang diturunkan untuk meleraikan segala kekeliruan? Jika ada yang bertanya,

Siapakah Yang Maha Mengetahui segala yang tidak diketahui, dan Yang Menguasai Segala Ilmu?” Jawapannya ialah, Allah.

Dalam surah Yusuf: 76, Allah berfirman “… dan di atas tiap-tiap orang yang berpengetahuan itu ada lagi Yang Maha Mengetahui.”

Jika kita tidak memikirkan ayat-ayat al-Quran, kita tidak akan dapat mengatasi kekeliruan atau kejahilan. Maka kita mesti mempelajari al-Quran, memahami maksud sebenar wahyu yang diturunkan, dan tidak diperbodohkan oleh sesiapa juga yang berfikir di sebaliknya.

Ada di antara mereka berkata kita tidak perlu mempelajari maksudnya kerana fikiran akan menjadi ketinggalan zaman, dan lebih keliru. Ada juga yang berkata al-Quran bukan untuk orang biasa, tetapi hanya untuk mereka yang berilmu.

Dengan wahyu semua kekeliruan akan terhapus

Ini juga nonsense! Kata-kata ini tidak berdasarkan ilmu dan mengelirukan. Bagaimana al-Quran dikhususkan untuk satu golongan elit? Bukankah melalui al-Quran seseorang mendapat ilmu? Bagaimana kita katakan ada orang berilmu tanpanya? Jika al-Quran hanya dikhususkan untuk orang berilmu, daripada mana datangnya ilmu mereka itu?

Adalah menjadi tugas kita untuk mempelajari kitab Allah kerana hari ini ada yang memperbodoh dan mengelirukan kita.

Keliru Budaya Dan Agama

Satu bentuk kekeliruan dalam kalangan Muslim yang wujud di serata dunia ialah kekeliruan antara budaya dan agama.

Mereka keliru, adakah amalan yang dilakukan sebenarnya budaya atau agama. Mereka melakukan sesuatu atas nama agama, padahal ia tidak mempunyai kaitan langsung dengan agama. Contohnya, apabila mahu berkahwin, mereka melakukan sesuatu yang menjadikannya sangat sukar berdasarkan adat budaya. Sedangkan dalam agama ia sangat mudah.

Jika  mahu mengikut agama Allah, kita perlu sedar bahawa Dia memilih kita  menjadi sebahagian daripada satu bangsa atas kehendak-Nya, bukan untuk kita memandang rendah kepada bangsa lain. Kita boleh berasa bangga dengan identiti diri, tetapi tidak harus mempunyai perasaan bangga yang salah.

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Al-Hujurat: 13)

Manusia diciptakan berbangsa-bangsa, dan ini ialah rancangan Allah. Dia menjadikan setiap seorang daripada kita ciptaan yang unik, dalam bentuk yang sebaiknya dan ia menjadi identiti kita.

Ada orang yang mengalami depresi setelah menjalani pembedahan untuk mencantikkan wajah dan tubuh. Mereka keliru dan tidak faham bahawa Allah telah memilih identiti khusus untuknya.

Lain halnya jika seseorang menghidapi penyakit, kecacatan teruk atau mahu mengembalikan sesuatu yang tidak normal kepada normal, maka pembedahan diharuskan dalam Islam.

Malangnya, ada yang bermain dengan ciptaan Allah bilamana seorang yang kelihatan normal secara sengaja menjalani pembedahan plastik untuk kelihatan berbeza. Bukan sekadar itu, malah ada juga yang keliru identiti diri sama ada dia adalah seorang manusia atau bukan. Sudahnya, dia mengambil tindakan songsang mengubah ciptaan Tuhan.

Sebenarnya hidup ini terlalu pendek. Bergembiralah dengan kurniaan Allah, dan janganlah melampaui had yang diharuskan-Nya. Manusia sekarang menjadi keliru dan susah hati. Mengapa? Kerana mereka tidak memahami mesej Allah S.W.T. Inilah isu utama yang dihadapi umat Islam hari ini.

Adakalanya hidup mereka menjadi lebih sukar kerana agama dicampuradukkan dengan budaya. Contohnya, dalam pemilihan jodoh untuk anak-anak. Ramai yang tidak bersetuju mereka dijodohkan dengan calon daripada bangsa atau budaya yang berbeza, sedangkan itu bukanlah ajaran Islam.

Hari ini kita kerap menyalahkan agama, sedangkan sikap kita yang selektif ialah masalah sebenar. Kita memilih apa yang sesuai untuk menjaga reputasi dan prestij. Sedangkan perkara penting yang perlu diambil berat ialah pegangan agama yang kukuh dan akhlak yang mulia. Wallahu a’lam

________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare