PELAKON baharu yang sedang meningkat naik, Nina Smith tidak berkecil hati terhadap pengarah Fauziah Ahmad Daud selepas berang dengan tindakkannya yang menarik diri daripada drama Bunga Hati pada saat akhir.

Menurut Nina atau nama sebenarnya Amalina Smith,23, selepas insiden yang berlaku pada Disember tahun lalu, dia masih belum bertemu dengan Fauziah atau Ogy.

Jelas Nina, dia bersikap terbuka dan tetap akan bekerjasama dengan Ogy sekiranya diberi peluang kedua pada masa akan datang.

“Saya masih belum jumpa kak Ogy lagi tapi Insya-Allah, kami berdua okey saja bila bertemu.

“Sejujurnya saya tak ambil peduli sangat isu itu sebab pada saya, perkara itu sudah pun berlalu. Lagipun, keputusan itu dibuat disebabkan bapa saya sakit dan saya tak menyesali tarik diri. 

“Jika sekali lagi saya diberikan peluang untuk berlakon di bawah arahannya, saya  akan terima.

“Saya tak simpan perasaan atau rasa kecil hati dengan kata-kata yang dilemparkan pada saya sebab sesiapa sahaja berhak untuk rasa marah. Cuma insiden itu pada saya, boleh dimaafkan,” katanya kepada URTV.

Terdahulu, industri seni kecoh sekejap selepas  Ogy ‘naik angin’ dengan Nina yang meninggalkan lokasi penggambaran biarpun sudah menyiapkan enam babak.

Nina bertindak demikian kerana mahu melawat bapanya yang menetap di Amerika Syarikat selepas diserang strok.

Ogy yang juga salah seorang pelakon drama Bunga Hati terbitan Zeel Production dan arahan Jamal Khan itu berang dan melemparkan kata-kata yang agak kasar dan mempertikaikan kredibiliti Nina selaku anak seni.

Sementara itu, Nina bersyukur meskipun kontroversi tersebut sedikit sebanyak mencalarkan namanya, namun sehingga kini dia masih menerima tawaran lakonan.

“Alhamdullilah selepas insiden tersebut, saya masih menerima banyak tawaran lakonan.

“Walaupun pada awalnya saya risau juga apa tanggapan penggiat seni terhadap saya tetapi syukur masih ada yang percaya dengan bakat.

“Apa yang berlaku adalah hal kecemasan yang memang tidak dirancang. Sebagai anak, saya rasa memang wajar untuk bertindak demikian.

“Malah, saya tidak digam oleh stesen Astro meskipun Bunga Hati akan ditayangkan di siaran itu sebab saya masih terima tawaran drama lain di stesen sama,” jelasnya.

Nina berada di Amerika Syarikat selama tiga minggu dan pulang ke Malaysia pada Januari lalu.