Menteri Komunikasi dan Multimedia ,Tan Sri Annuar Musa. GAMBAR: Abd Razak Aid

HARI ini berlangsung pembentangan satu usul oleh kerajaan di Dewan Rakyat.

Usul oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu untuk melanjutkan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA bagi tempoh lima tahun lagi.

Bagaimanapun, usul itu tidak diluluskan setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 84 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.

Yang tidak bersetuju ialah wakil pembangkang termasuk daripada Pakatan Harapan (PH).

Sepatutnya usul itu tidak menjadi masalah kerana antara pembangkang dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah ada memorandum persefahaman (MoU).

Menurut Tan Sri Annuar Musa, Perkara 3.3 (b) MoU itu menyebut bahawa pihak PH bersetuju akan mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam apa-apa usul yang dikemuka kerajaan.

Ertinya kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, PH berjanji tidak akan menolak usul kerajaan.

Justeru, tegas Annuar, apabila wakil PH mengundi tidak bersetuju usul kerajaan hari ini, maka MoU itu sudah terbatal.

Baca: Usul lanjut Subseksyen 4 (5) SOSMA tidak diluluskan Dewan Rakyat

Kata Ahli Parlimen Ketereh itu, PH telah melanggar MOU tersebut, dengan secara mengejut meminta undi belah bagi bagi satu usul yg dibawa oleh Menteri Dalam Neger yang mana mereka telah mengundi menolak usul tersebut.

“Pada hemat saya, dengan tindakan itu, maka terbatal sudah MOU berkenaan.

“Dan ini satu “blessing in disguise” kerana Perdana Menteri kini bebas untuk membatal atau menggantung pelaksanaan MOU tersebut,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Baca: Ahmad Zahid sentuh PRU-15, bertanya tapi seperti mendesak

Tambah Annuar, ini akan memudahkan lagi tanggungjawab Perdana Menteri (dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong) melaksanakan mandat Perhimpunan Agung UMNO 2021 terutama berkaitan pembubaran Dewan Rakyat.

“Ianya juga membolehkan kita segerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), selari dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO tempoh hari.

“Gantung MOU! Jom!… Kita buat persiapan dan bersedia untuk PRU 15,” jelasnya.