Kerajaan Persekutuan membenarkan aktiviti keagamaan dilakukan tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April ini. Namun, bagi hak ehwal Islam, keputusan lanjut dibuat negeri. GAMBAR hiasan: Abd Razak Aid

SETELAH lebih dua tahun solat jemaah di masjid dan surau dilaksanakan dengan saf dijarakkan berikutan penularan COVID-19, kerajaan Persekutuan baru-baru ini membenarkan aktiviti keagamaan dilakukan tanpa penjarakan fizikal mulai 1 April ini.

Meski pun demikian, perkara yang berkaitan hal ehwal Islam masih tertakluk kepada keputusan di peringkat negeri seperti mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Alhamdulillah, beberapa negeri sudah responsif dengan membenarkan saf solat jemaah kembali dirapatkan antaranya Wilayah Persekutuan, Perlis (yang sudah membenarkan sebelum ini), Sarawak dan Terengganu.

Hari ini, Perak dan Pulau Pinang pula menyusul dengan membenarkan solat fardhu, Jumaat, jenazah dan tarawih dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

Negeri Sembilan pula sedikit berbeza apabila menentapkan penjarakan fizikal ketika mendirikan solat berjemaah dan wirid mengikut aturan sejadah bersaiz besar iaitu 0.6 meter lebar x 1.2 meter panjang mulai 1 April ini.

Bagaimanapun kesemua negeri menetapkan kebenaran ini tertakluk prosedur operasi standard (SOP) lain yang berkaitan solat jemaah.

Memetik laporan Bernama, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan membenarkan saf dirapatkan dengan bilangan jemaah ditentukan mengikut keluasan ruang masjid atau surau, bermula waktu subuh pada 1 April ini.

Titah baginda, hidangan berbuka puasa, hidangan selepas tarawih (moreh) serta hidangan sahur juga dibolehkan dengan penyediaan makanan bungkus, dan tidak dibenarkan jamuan secara hidangan terbuka terutama selepas tarawih.

Sultan Nazrin bertitah, aktiviti tadarus al-Quran, kuliah dan kelas pengajian juga dibenarkan di masjid serta surau manakala tazkirah yang dibenarkan selepas solat witir hendaklah tidak melebihi 30 minit.

“Program qiamullail dan iktikaf pada waktu malam di masjid dan surau dibenarkan, dengan mengambil langkah-langkah preventif jangkitan berpandukan nasihat Jabatan Kesihatan,” titah baginda pada sesi sembah taklimat aktiviti masjid dan surau di negeri Perak sempena Fasa Peralihan ke Endemik di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak hari ini.

Sementara itu, walaupun Perak lazimnya menetapkan 20 rakaat solat tarawih, bagi meminimumkan risiko jangkitan dalam tempoh Fasa Peralihan Ke Endemik, Jawatankuasa dan Pegawai Masjid diberikan budi bicara menentukan bilangan rakaat solat Tarawih yang difikirkan munasabah untuk dilaksanakan di masjid dan surau masing-masing.

“Jabatan Agama Islam dan Adat Melayu Perak hendaklah mengeluarkan pekeliling terperinci kaedah dan tatacara pengurusan aktiviti di masjid dan surau, merangkumi perkara-perkara menyentuh tahap kebersihan dan sanitasi,” titah baginda.

Titah Baginda hasil daripada kelonggaran di bulan Ramadan ini akan menjadi penentu dan panduan kepada aktiviti yang akan diperkenankan bagi sambutan Hari Raya, yang akan diumumkan naginda sendiri pada waktu sesuai, setelah Baginda berpuas hati bahawa risiko jangkitan berjaya diminimumkan dan dapat dibendung secara berkesan.

Sementara itu, Pulau Pinang membenarkan pelaksanaan solat berjemaah secara merapatkan saf di surau dan masjid seluruh negeri itu bermula 1 April ini.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, ketetapan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di peringkat Pusat berhubung solat berjemaah.

“Selain kebenaran merapatkan saf, kami juga membuat ketetapan untuk membenarkan aktiviti tadarus al-Quran dan qiamullail di semua masjid serta surau sepanjang bulan Ramadan nanti dengan pemantauan pengurusan (masjid dan surau) dan jemaah perlu mematuhi SOP ditetapkan sebelum ini, termasuk membawa sejadah sendiri.

“Solat tarawih pula dibenarkan sehingga 20 rakaat dan kami turut memberi kelonggaran untuk membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah (untuk) turut menunaikan solat (tarawih), manakala majlis berbuka puasa dan moreh pula dijalankan mengikuti kesesuaian SOP,” katanya kepada pemberita hari ini.

Di SEREMBAN, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jemaah yang dibenarkan masuk ke masjid dan surau adalah lelaki, wanita dan kanak-kanak, warga tempatan dan bukan warganegara serta penduduk tetap yang telah lengkap menerima vaksin COVID-19.

“Jemaah yang hadir juga perlu memastikan dalam keadaan sihat, tiada gejala seperti demam, batuk, selesema atau sebagainya. Jemaah tidak dibenarkan untuk bersalaman atau melagakan penumbuk.

“Satu sejadah hanya untuk seorang sahaja, jemaah boleh rapatkan sejadah tapi tidak boleh berkongsi dalam keadaan pandemik ini, jemaah juga perlu membawa sejadah sendiri, pakai pelitup muka dan imbas Mysejahtera,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco seperti dilapor Bernama hari ini.

Beliau berkata bagi aktiviti pengajian ilmu seperti kelas takmir, kuliyah atau ceramah, qiamullail, tadarus, iktikaf serta program komuniti seperti penyampaian bantuan majlis berbuka puasa turut dibenarkan dengan menjaga penjarakan fizikal.