Pegawai Pemerintah Penguatkuasaan Maritim Thailand dan pegawai Taman Negara Kepulauan Similan menyelamatkan lelaki itu, kira-kira 80 kilometer dari pantai, semalam.

PERASAAN rindu mendalam seorang suami ke atas isterinya membuatkan seorang lelaki Vietnam nekad mendayung bot getah dari Phuket, Thailand ke India, sejauh kira-kira 2,000 kilometer.

Bagaimanapun, rancangan itu terkandas apabila lelaki dari bandar Ho Chi Minh, Vietnam itu diselamatkan pihak berkuasa selepas 18 hari terapung di laut.

Gara-gara pandemik COVID-19, Ho Hoang Hung, 37, sudah dua tahun tidak berjumpa isterinya di Mumbai.

Ini membuatkan Hoang Hung nekad dengan mengisi bot getah sepanjang 2.5 meter miliknya dengan bekalan mi segera dan air minuman untuk merentasi Teluk Bengal ketika musim ribut hampir bermula.

Dia kemudiannya berlepas dari Phuket tanpa bantuan alat navigasi dan ditemui nelayan tempatan yang memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa Thailand.

@utusantvofficial

Respek brader ini, demi cinta, 18 hari terapung di laut😁. #beritaditiktok #TrendingNewsMalaysia #fyp

♬ Love Me Like You Do – Elena Gray

Pegawai Pemerintah Penguatkuasaan Maritim Thailand dan pegawai Taman Negara Kepulauan Similan menyelamatkan lelaki itu, kira-kira 80 kilometer dari pantai, semalam.

Menurut Pegawai Pemerintah Penguatkuasaan Maritim Thailand, Kapten Pichet Songtan, Hoang Hung cuba bertemu isterinya susulan sekatan perjalanan Covid-19.

Dia pada awalnya terbang ke Bangkok pada 3 Mac sebelum kemudiannya mendapati tanpa visa dia tidak boleh melawat India.

Ini membuatkan Hoang Hung nekad ke Phuket untuk membeli bot getah dan berlepas ke India.

Selepas berlayar pada 5 Mac, Hoang Hung berdepan cuaca buruk dalam tempoh dua minggu pelayarannya sebelum akhirnya dia ditemukan.

Menurut pihak berkuasa, Hoang Hung akan dibawa ke Phuket untuk siasatan lanjut.

“Kami telah menghubungi kedutaan Vietnam dan India namun masih belum ada sebarang jawapan,” kata Pichet.