KERAJAAN dilihat sudah hilang sokongan moral selepas usul yang dibawa kerajaan untuk melanjutkan tempoh tahanan di bawah seksyen 4(5) SOSMA 2012 petang semalam gagal diluluskan.

Oleh hal yang demikian, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, sudah tiba masanya untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan.

Menurut Mohamed Nazri, hal itu kerana persepsi rakyat ketika ini adalah kerajaan sedia ada tidak mempunyai majoriti dan sukar untuk membuat keputusan terbaik untuk negara.

“Seperti mana yang berlaku semalam, persepsi rakyat terhadap kuasa kerajaan sekarang adalah lemah.

“Kalau kerajaan kalah ketika membawa usul, sukar untuk kita membuat rang undang-undang kerana tidak dapat diluluskan pada masa akan datang kerana tidak mempunyai sokongan majoriti,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Baca artikel berkaitan: Penolakan usul tak beri kesan kepada MoU – Anwar

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, beliau sebelum ini tidak bersetuju dengan desakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mengadakan PRU dalam masa terdekat.

Hal itu jelas beliau adalah kerana pada ketika itu tidak mempunyai sebarang alasan atau sebab kukuh untuk mengadakan PRU.

Begitupun, tegasnya, selepas situasi yang berlaku di Dewan Rakyat semalam, peristiwa itu boleh dijadikan asas untuk mengadakan PRU dalam masa terdekat.

“Apapun, keputusan untuk mengadakan PRU terletak pada parti saya (UMNO).

“Kalau mereka (UMNO) fikir perlu untuk kembalikan mandat rakyat, itu hak mereka,” katanya.