JUARA Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim Football Club (JDTFC), mengumumkan kerjasama strategik bersama Universal Music South East Asia (UM SEA) dan Def Jam Recordings SEA dengan pelancaran Pioneers, lagu tema rasmi kelab tersebut untuk 2022.

Lagu terbabit merupakan hasil ciptaan dan dinyanyikan oleh ikon hip-hop global Snoop Dogg serta Joe Flizzow.

Lagu tersebut merupakan sebahagian daripada strategi penjenamaan global JDTFC yang lebih luas, yang dibangunkan berkat kolaborasi bersama UM SEA.

Universal Music Malaysia akan menjadi pengedar rasmi lagu tersebut sudah berada di semua platform penstriman digital seluruh dunia bermula 22 Mac lalu.

Karya penuh inspirasi itu akan membenarkan para peminat untuk menyalurkan dan menghargai initipati nilai kejuaraan, inovasi, disipilin serta keunggulan JDTFC di tahap tertinggi.

Duli Yang Amat Mulia Jeneral Major Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tengku Mahkota Johor dan juga pemilik JDTFC, serta Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia menandatangani perjanjian pengedaran itu di Stadium Sultan Ibrahim, Johor yang juga kediaman JDTFC yang mampu memuatkan 40,000 orang penonton.

Ia sebagai sebuah lagi tanda bersejarah dalam perjalanan JDTFC untuk menjadi sebuah kumpulan bola speak global yang dikenali dengan kelompok peminat antarabangsa yang semakin bertambah.

“Pioneers” oleh Snoop Dogg dan Joe Flizzow merupakan hasil terbitan SonaOne dengan lirik yang terilham daripada usaha gigih JDTFC dalam menetapkan tanda aras sukan bola sepak di Malaysia serta kejayaan di dalam dan luar padang sejak 2013.

Vokal lagu ini dirakam di Los Angeles dan Kuala Lumpur, manakala adunan dan proses mastering dilakukan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Tunku Ismail berkata, “Universal Music Group adalah syarikat muzik terbesar dunia dengan sejarah yang hebat meliputi artis-artis pemenang anugerah serta muzik luar biasa yang telah membentuk industri hiburan selama hampir 100 tahun.

“Dengan adanya legenda hip hop tersohor seperti Snoop Dogg membuat persembahan untuk lagu tema rasmi JDT 2022 bersama artis berbangsa Johor, Joe Flizzow adalah satu kerjasama yang sangat menakjubkan.

“Kami harap Pioneers akan menjadi pencetus untuk lebih banyak lagi kolaborasi di antara JDT dan Universal Music di tahun-tahun yang mendatang,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Universal Music Group Asia Tenggara dan Naib Presiden Kanan Universal Music Group Asia, Calvin Wong berkata, “Kami berbangga dapat bekerjasama dengan JDTFC untuk inisiatif perintis ini.

“Pengalaman serta kreativiti para artis dan para eksekutif Universal Music SEA dan Def Jam Recordings SEA akan membantu mengembangkan warisan JDTFC serta kesan budaya artis kami, bukan sahaja di Malaysia dan Asia Tenggara, tetapi di seluruh dunia.

“Kami sangat berbangga dapat memainkan peranan dalam strategi global jenama JDTFC serta berharap artis kami akan bersatu dengan peminat global JDTFC melalui muzik,” ujarnya.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, “Kolaborasi artis adalah salah satu kekuatan kreatif yang memacu muzik dan jenama masa kini.

“Keindahan kerjasama dengan JDTFC ini adalah kami boleh menyediakan peluang-peluang luar biasa buat artis dan jenama-jenama tempatan yang gah bersama bintang tersohor antarabangsa seperti Snoop Dogg.

“Saya percaya kerjasama ini akan membuka lebih banyak kesempatan dalam dunia muzik, gaya serta peluang di antara Universal Music Malaysia dan JDTFC pada musim-musim yang mendatang.

”Video muzik Pioneers yang telah ditayangkan pada 17 Mac sewaktu acara pelancaran boleh ditonton di semua akaun media sosial rasmi JDT & saluran YouTube JDT TV d Untuk maklumat lanjut, layari www.johorsoutherntigers.my dan ikuti laman-laman media sosial JDT,” akhirinya.