NIAT hendak mencari pendapatan tambahan kerana isteri hamil tanpa diduga telah membuka laluan rezeki yang tidak dijangka buat pasangan suami isteri ini.

Siapa sangka, daripada seorang jururawat dan kakitangan kerajaan, Afizam Abdul Aziz, 43, dan isterinya Siti Aisah Muhammad Hamim, 40, kini sudah mampu tersenyum lebar sebagai usahawan yang berjaya.

“Pada tahun 2005, isteri hamil anak kedua. Ketika itu saya rasa kami perlu cari side income. Sukar jika hanya bergantung kepada gaji kami sahaja kerana ahli keluarga akan bertambah,” ujar Afizam selaku Pengarah Zafesha Network & Marketing.

Afizam dan isterinya, Siti Aisah.

Walaupun ketika itu Afizam bekerja sebagai kakitangan kerajaan dan isterinya sebagai jururawat, mereka tetap melakukan bermacam-macam pekerjaan sampingan untuk menambah pendapatan.

Pasangan suami isteri yang berasal dari Segamat, Johor ini pernah menceburi bisnes kad kahwin, katering dan perancang perkahwinan selain pernah menjual char kue tiaw dan asam pedas. Kemudian, mereka bermula secara aktif sebagai ejen jualan sebelum mengeluarkan jenama perniagaan sendiri Zafesha Simply pada tahun 2018.

“Alhamdulillah, ini tahun kelima Zafesha beroperasi. Tahun lalu kami berjaya melahirkan enam orang Usahawan Jutawan yang berjaya mencatatkan jualan melebihi RM1 juta pada tahun 2021 walaupun kita diuji dengan COVID-19,” kata Aisah yang juga Pengasas produk Zafesha Simply.

Menurutnya, untuk sampai ke tahap sekarang juga bukan perjalanan yang mudah. Mereka pernah mengalami kejatuhan pada tahun 2014 apabila mengalami kerugian setengah juta ringgit sehingga hampir muflis.

“Ketika itu, kami masih belum banyak ilmu dalam perniagaan. Kami banyak buat hutang untuk tambah modal sampai tak mampu nak bayar semula. Kami hampir bangkrup, hutang bertimbun dan kereta berbulan tak mampu bayar.

“Tambah pula ketika itu suami baru berhenti kerja tetap sebagai kakitangan kerajaan sebab nak tumpukan perhatian pada perniagaan kami. Hanya saya seorang yang masih bekerja sebagai jururawat ketika itu. Waktu itu, hidup kami amat struggle, tapi kami cekalkan hati untuk teruskan dan belajar dari kesilapan,” cerita Aisah.

Aisah sanggup meninggalkan kerja jururawat untuk menumpukan perhatian kepada perniagaannya.
Aisah semasa menjadi jururawat (kiri berkacamata).

Menurutnya lagi, selepas kehidupan mereka mulai stabil, barulah dia mengambil keputusan berhenti kerja pada tahun 2017 untuk sama-sama memberi tumpuan sepenuh masa kepada perniagaan mereka.

Setelah menimba ilmu dan pengalaman bermula sebagai ejen, pada 2018 mereka melancarkan Zafesha Simply, produk keluaran mereka sendiri. Nama Zafesha dipilih kerana ia merupakan gabungan nama mereka suami isteri bersama dua anak lelaki mereka.

Nama ZAFESHA adalah nama gabungan mereka empat beranak.

Produk yang diusahakan mereka ini cepat mendapat sambutan, tambahan pula 70 peratus ejennya terdiri daripada pelanggan asal yang berpuas hati setelah menggunakan produk Zafesha, termasuk golongan golongan suri rumah berumur 35 tahun ke atas, selain kalangan wanita yang ingin mencari pendapatan tambahan.

Bukan saja di Malaysia, malah produk Zafesha Simply yang menjadikan penyanyi Datin Alyah sebagai duta mereka ini turut mendapat sambutan di Singapura dan Brunei.

Zafesha Simply memiliki 12 produk penjagaan kulit. Salah satu yang terlaris adalah Foundation yang menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti minyak Argan. Produk ini telah menembusi pasaran Singapura dan Brunei dengan lebih 5 ribu pelanggan.

Aisah bersama duta produk Zafesha, Datin Alyah.

“Produk kami ada pengiktirafan daripada SIRIM, KKM, dan sijil Halal JAKIM. Tahun lalu, kami mencapai jualan 24 juta. Tahun ini, kami sasarkan jualan mencecah 42 juta dan mahu melahirkan 20 orang jutawan jualan. Kami juga sasarkan untuk lahirkan 10,000 usahawan baru,” kata Aisah.

Untuk tujuan itu juga, suami isteri ini menubuhkan Akademi Zafesha bagi melatih dan memberi ilmu perniagaan kepada ejen-ejen mereka.

“Akademi ini bukan sekadar membekalkan bahan pemasaran, tapi kami juga melatih mereka dengan ilmu perniagaan yang lebih luas seperti pengurusan, kewangan, cukai dan pelaburan. Jadi, tidaklah mereka hanya sekadar tertumpu hendak mencari pendapatan saja, tetapi mereka juga boleh mengembangkan bisnes sendiri di masa akan datang,” katanya sewaktu ditemui dalam majlis makan malam bagi menghargai pekerja dan wakil jualan mereka bertempat di Cyberview Resort and SPA, Cyberjaya.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’