
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa beliau menerima banyak aduan daripada masyarakat Cina yang tidak berpuas hati dengan Pakatan Harapan (PH).
Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, ramai orang Cina menyalahkan kerajaan PH atas kemerosotan pasaran saham dan ekonomi yang semakin perlahan.
Najib berkata, antara aduan yang diterima adalah pentadbiran PH terdahulu yang menyasarkan komuniti Cina untuk tuntutan cukai pendapatan yang tidak adil.
“Mereka beritahu PH cuma ‘hui chiang puk hui zuo‘, atau tahu cakap saja, tapi tak dapat buat,” kata Najib.
Beliau berkata demikian dalam siaran langsung ucaptama pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Pulau Pinang (Pibis) hari ni.
Baca artikel berkaitan: Pengurusan 1MDB tipu Najib berhubung perjanjian pelaburan – Saksi
Sementara itu, Najib turut menzahirkan kekecewaan apabila ramai daripada komuniti Cina terpengaruh dengan propaganda DAP.
Katanya, antara propaganda DAP yang popular ketika itu adalah dakwaan beliau mengungkapkan ‘Apa lagi Cina mahu’ selepas selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
“Sukar untuk mempercayai ramai orang Cina percaya propaganda DAP bahawa saya pernah sebut ‘Apa lagi Cina mahu’.
“Ia hanya kerana DAP selalu menyebarkan keratan muka surat hadapan sebuah surat khabar Melayu mengandungi kata-kata itu.
“Secara kebetulan, gambar muka saya juga ada di muka surat berkenaan.
“Saya ingin ulang sekali lagi yang saya tidak pernah sama sekali mengungkapkan kata-kata sedemikian yang dilihat sangat tidak sensitif dan bongkak,” katanya.