Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kangar hari ini.

KERAJAAN bersetuju menyediakan Skim Insurans Keluarga Malaysia bagi memberi perlindungan sosial kepada golongan miskin dan miskin tegar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di bawah skim ini, Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dalam sistem eKasih diberi perlindungan insurans yang melibatkan 268,000 keluarga miskin dengan premium RM50 setahun.

“Ini melibatkan kos sebanyak RM 13.4 juta. Sekiranya KIR meninggal dunia disebabkan kematian biasa, keluarga akan mendapat manfaat RM10,000, keilatan kekal RM10,000 sementara yang meninggal dunia akibat kemalangan
RM20,000.

“Pada masa yang sama, Pru-takaful BSN menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu sejak 2018 memberi perlindungan insurans RM30,000 secara percuma bagi KIR yang berdaftar menerusi eKasih,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kangar hari ini.

Sementara itu, kata Perdana Menteri, mulai 1 April, negara akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’, dan keputusan Kerajaan ini amat tepat pada masanya, lebih – lebih lagi menjelang Ramadan.

Katanya, ini membolehkan Keluarga Malaysia mengimarahkan masjid dan surau dengan menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah tanpa perlu penjarakan fizikal.

“Had waktu operasi perniagaan juga dimansuhkan dan Keluarga Malaysia yang kesuntukkan masa memasak untuk bersahur bolehlah makan di gerai-gerai yang menyediakan pelbagai jenis masakan, diikuti solat subuh.

“Walaupun tiada lagi penjarakan fizikal, namun Keluarga Malaysia masih terikat dengan pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup muka di samping penjagaan kebersihan diri,” jelasnya.

Baca: PM rasmi program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Perlis

Buka sempadan: Pengembara perlu muat turun MySejahtera, jalani RTK-Ag selepas tiba di Malaysia

Justeru, kata Ismail Sabri, bagi memastikan SOP dan Garis Panduan (GP) masih terjaga, beliau melancarkan program Duta Komuniti Keluarga Malaysia yang berkonsepkan kesukarelawan.

Matlamatnya, jelas Perdana Menteri adalah membudayakan kawalan kendiri dalam kalangan komuniti sepanjang fasa peralihan ke endemik.

“Duta Komuniti ini akan ditempatkan di kawasan berisiko tinggi iaitu sesak dan tertutup.

“Mereka akan memastikan maklumat yang disampaikan kepada komuniti adalah tepat, terkini dan efektif dengan cara penyampaian yang bernada lembut, berhemah dan bersopan – santun apabila membuat teguran.

“Saya yakin program ini dapat memperkasakan komuniti, bersama Kerajaan, mendidik masyarakat supaya sentiasa mematuhi SOP dan mengamalkan norma baru demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.