Bangunan Parlimen Malaysia GAMBAR: Abd Razak Aid

MALAM 14 Disember 2009, Sidang Dewan Rakyat masih berlangsung.

Di luar bangunan Parlimen, ada anggota Kabinet menghadiri majlis berkaitan tugas rasmi mereka.

Ini termasuk Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau merasmikan majlis amal di sebuah sekolah persendirian di ibu negara.

Melihat kepada jam, Najib dikira meninggalkan majlis itu sedikit awal.

Ada wakil media yang membuat liputan pada malam tersebut sedikit tertanya. Kenapa?

Mungkin ada majlis lain yang tidak dimasukkan dalam program untuk liputan media. Sekadar meneka.

Rupa-rupanya, di Dewan Rakyat ada drama yang sedang berlaku ketika proses pengundian bacaan kali ketiga rang undang-undang (RUU) Perbekalan 2010 atau Belanjawan 2010.

Beberapa wakil pembangkang bangun meminta diadakan undi belah bahagian.

Cemas? Memang. Jika kerajaan dikalahkan ia membawa implikasi besar kepada kedudukan Perdana Menteri.

Ini dari semangat dan konvensyen amalan demokrasi Westminster – umpamanya satu undi tidak percaya apabila belajawan gagal diluluskan.

Namun, dalam ‘kekalutan’ itu kerajaan berjaya mengumpulkan ahli yang cukup malah dikhabarkan ada seorang Ahli Parlimen BN bergegas dari lapangan terbang sebaik menerima panggilan supaya segera ke Parlimen.

Kesudahannya, proses pengundian Belanjawan 2010 selesai pada 11.15 malam.

Ia diluluskan dengan 66 undi menyokong dan 63 undi menolak.

Ada yang mengatakan ketika malam 14 Disember itu, Ahli Parlimen pembangkang masih ramai berlegar di Parlimen. Ini tidak seperti dari biasa.

Sedangkan mereka seperti juga penyokong kerajaan akan mengambil syif penggiliran hadir ke dewan, sekadar memastikan kuorum cukup.

Sejak itu, Barisan Nasional (BN) mengambil pengajaran berguna. Setiap kali ada pengundian, semua mesti ada di bangunan Parlimen.

Ok, itu soal belanjawan. Bab itu ramai sependapat, kalau ditolak ada kesan kepada kerajaan.

Baca: Undi Bajet 2022 jadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Bagaimana pula dengan usul RUU. Kalau RUU dibawa kerajaan gagal diluluskan?

Apakah ini satu bentuk undi tidak percaya?

Di sini ada pandangan berbeza selaras dengan perubahan zaman.

Ratusan tahun dahulu ya, ada Perdana Menteri Britain meletak jawatan apabila RUU kerajaan ditolak.

Namun pendekatan politik berevolusi yang mana Ahli Parlimen kerajaan tidak semetinya mengundi menyokong kerajaan pada setiap masa.

Contoh terhampir apa dilalui bekas Perdana Menteri Britain, John Major pada 1993.

Major mengemukakan undi percaya selepas cadangan kerajaan untuk menerima Masstricht Treaty, gagal mendapat sokongan majoriti ‘House of Common’.

Kegagalan itu akibat penolakan daripada segelintir wakil parti pimpinannya sendiri.

Namun Major memilih membentangkan usul undi percaya dalam Parlimen dan beliau kekal menerajui kerajaan sehingga penggal berakhir pada 1997.

Di Malaysia, apa berlaku kelmarin berhubung usul kerajaan bagi melanjutkan satu subseksyen dalam SOSMA yang ditolak harus membuka mata.

Baca: Usul lanjut Subseksyen 4 (5) SOSMA tidak diluluskan Dewan Rakyat

Persetujuan blok PH kepada memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan seperti ada fasal pengeualian yang mereka sahaja faham.

Seolah-olah iklan kereta jaminan 5 tahun tetapi ada pula fasal pengecualian yang mana tertakluk kepada 100,000 kilometer pertama.

Jadi, tidak pelik apa dikatakan oleh Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz – kehilangan sokongan secara moral apabila usul kerajaan gagal diluluskan.

Baca: Hilang sokongan moral, sudah tiba masa untuk PRU – Nazri Aziz

Dari segi perundangan memang tidak jadi isu tetapi ada perspektif lain yang perlu dilihat seperti kata bekas Menteri di JPM itu.

PH tahu kesan tindakan mereka semalam. Sebab itu mereka mengalihkan beban kesalahan kepada ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir.

Alasan PH itu seperti mencampuradukkan dua perkara. Soal Ahli Parlimen kerajaan tak hadir satu bab, yang PH mengundi menentang usul kerajaan satu lagi bab sedangkan sudah sepakat nak bawa kestabilan.

Sedangkan dalam MoU itu disebut PH ada pilihan berkecuali atau lebih senang, keluar dewan.

Ingat. Terlajak perahu boleh diundur. Seperti kata Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, dah boleh bersiap sedia untuk PRU-15