PELAKON dan pelawak Amran Tompel, 70, meninggal dunia ketika dalam tempoh kuarantin akibat positif Covid-19 di rumahnya di Taman Matahari Height Senawang, Seremban jam 4.43 petang tadi.
Menurut abang Allahyarham, pelakon AR Badul, arwah sepatutnya tamat tempoh kuarantin hari ini.
“Saya sebenarnya baharu balik dari Perak dan sebaik sampai di Kuala Lumpur baru sempat baca mesej WhatsApp berkenaan kematiannya.
“Kematiannya berpunca dari sakit tua, masalah buah pinggang dan baru-baru ini Amran positif Covid-19 dan menjalani kuarantin kendiri di rumah.
“Hari ini merupakan hari terakhir kuarantin dan tak sangka dia sudah tiada,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Terdahulu Amran atau nama sebenarnya Amran Aman Ramlie mengalami gejala pelupa selepas terlantar akibat serangan angin ahmar.
Dia juga kurang selera makan hingga berat badannya semakin menurun.
Allahyarham dimasukkan ke Hospital Jelebu, Negeri Sembilan pada awal Mac 2020 selepas mengadu tangan kirinya tidak boleh bergerak.
Beliau yang pernah mewarnai industri lakonan tanah air sekitar 1990-an hingga 2014, sebelum ini pernah beberapa kali diserang angin ahmar.