BIARPUN namanya kian meningkat naik dalam industri seni, pelakon Nadhir Nasar mengakui bersikap selektif dalam memilih naskhah setiap kali menerima tawaran lakonan daripada pihak produksi.

Katanya, sebagai pelakon baharu dalam industri seni, dia bersikap demikian bukan disebabkan sombong sebaliknya mahu memberi kualiti yang terbaik dalam sesuatu lakonan.

“Sebenarnya selektif itu perlu ada dalam setiap pelakon. Saya sebagai pelakon baru nak cipta nama dalam industri, perlu memilih dalam sesuatu naskah sama ada berani nak sampaikan atau tidak.

“Kita memilih bukan sebab sombong, tapi adakah watak yang diberikan boleh dilakonkan dengan baik atau tidak.

“Kebanyakkan pelakon baharu ada kesilapan tersebut dimana mereka ‘tapau’ semua tawaran,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada majlis Tayangan Perdana Program Ramadan Astro di Kuala Lumpur.

Tambah bekas Juara Hero Remaja 2020 itu lagi, dia akan menolak watak yang tidak mampu digalasnya kerana menganggap ada pelakon lain yang lebih layak membawa watak tersebut.

Jelasnya, dia sanggup memenuhi apa sahaja yang permintaan pihak produksi jika naskah tersebut mampu memberi impak yang mendalam kepada masyarakat.

“Bila saya baca sinopsis sesuatu cerita, kalau saya rasa memang tak boleh bawa watak itu, memang saya tak akan buat. Sebab saya rasa ada orang lebih layak daripada saya.

“Saya sanggup buat apa sahaja jika sesuatu naskah terbaik dan berbaloi untuk saya. Nak botakkan rambut ke apa, saya boleh buat,” ujarnya.