Siapa suka masakan berasaskan mentega? Kena pula digandingkan dengan makanan laut, fuhh… memang layan. Selalunya bila dengar seafood, ramai juga yang gerun bila membayangkan harganya.

Kali ini, anda jangan risau. Anda boleh nikmati makanan berasaskan seafood butter dengan harga yang sangat berpatutan di restoran Butternang By Ansshellbox. Restoran ini baru saja dibuka bertempat di medan selera D’Tebing, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Butternang ini merupakan anak syarikat kepada Ansshellbox Sdn. Bhd. Menurut Nor Aisyah Maaras,29, dia menubuhkan Butternang untuk memberi peluang agar semua genap lapisan masyarakat mampu menikmati makanan premium pada harga yang berpatutan.

“Orang selalu beranggapan, hanya orang kaya saja mampu makan seafood. Sebab itu kami tampil untuk memenuhi citarasa semua penggemar seafood ala bangsawan tapi pada harga yang sangat berpatutan dan mampu dinikmati oleh semua orang,” kata Nor Aisyah yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Ansshellbox.

Nor Aisyah semasa merasmikan pembukaan restoran Butternang di lama selera D’Tebing di Dataran Merdeka.

Butternang menyediakan menu yang ringkas tanpa memerlukan masa yang lama untuk disiapkan.

“Jika Ansshellbox ada harga menu boleh mencecah sehingga RM1,000, tetapi di Butternang ini, harga menu bermula dari hanya RM10 dan tidak lebih dari RM100.

“Menu basic untuk seorang makan hanya RM10. Kalau yang premium pun hanya berharga RM79, itu pun boleh makan sehingga tiga ke empat orang. Memang kita wujudkan Butternang ini dengan signature golongan biasa pun mampu menikmati makanan yang enak dan mewah pada harga mampu milik,” ujar Nor Aisyah yang mensasarkan pelanggan tidak kira lapisan masyarakat.

Bermula Dari Rumah

Menyingkap sejarah perjalanan perniagaannya, Nor Aisyah menubuhkan Ansshellbox pada 2018. Ketika itu, dia memulakan perniagaan berasaskan makanan laut hanya dari rumah.

“Sebelum itu, saya pernah buat bisnes seperti MLM. Tapi, saya rasa takkan mampu bertahan lama dalam bisnes itu. Ketika itu, saya ada memasak seafood dan beri kawan-kawan makan. Mereka kata sedap dan cadangkan saya meniaga makanan itu.

“Dari situ saya mula ambil order. Mula-mula, masak di rumah sahaja. Bila permintaan semakin banyak, saya dan suami buka kedai di tepi jalan sebelah KPJ Tawakal berdekatan Chow Kit. Dari situlah jenama Ansshellbox mula berkembang sehingga kita boleh hantar pesanan ke seluruh Kuala Lumpur dan Selangor,” cerita Nor Aisyah.

Bermula dari rumah, Aisyah membuka gerai di tepi jalan sebelum perniagaannya berkembang maju.

Ansshellbox yang berkonsepkan delivery mula dikenali dengan keistimewaan hidangan makanan laut yang didatangkan di dalam kotak dengan pilihan enam sos istimewa. Di antara sos itu adalah Spicy Kam Heong, Classic Sweet Spicy, Salted Butter Creamy, Hot Cajun, Rosemary dan Spicy Sour Plum.

Sejak itu, Ansshellbox berkembang maju dan memiliki rangkaian produknya sendiri seperti pes sos, makanan sejuk beku dan rangkaian Ansshellbox Express, selain bertindak sebagai central kitchen untuk restoran Butternang dan produknya yang lain.

Butternang di laman selera D’Tebing adalah restoran pertama di bawah Ansshellbox. Ada 6 menu pengenalan yang ditawarkan.

“Di Butternang, kita ada enam menu yang very simple dan cepat disediakan. Ia selari dengan misi kami untuk jadi peneraju restoran seafood pertama yang mampu hidangkan makanan butter dengan pantas dalam tempoh 10 minit.

“Ini adalah cawangan yang pertama dan kita akan buka lagi lima cawangan. Selain di Kuala Lumpur, kami juga akan buka di Johor Bahru dan Melaka,” kata Nor Aisyah lagi.

Antara menu di Butternang.

Di Butternang, ia menghidangkan menu Ansshellbox dengan konsep makan di atas meja tanpa perlu pakai pinggan. Pelanggan boleh memilih salah satu dari enam pilihan jenis sos.

Jika ada antara ahli keluarga yang alergik dan tak boleh makan seafood, jangan risau. Terdapat juga menu chicken butter untuk mereka yang tidak boleh menjamah seafood.

Kini anda boleh menikmati hidangan Ansshellbox secara hidangan atas meja di Butternang.

“Sebelum ini, orang selalu tanya bila nak buka restoran sebab kami bermula dengan delivery sahaja. Akhirnya sekarang selepas lima tahun, kami mampu buka Butternang by Ansshellbox ini.

“Kita namakan Butternang pun kerana ‘butter’ itu adalah trademark kami, dan perkataan ‘Nang’ pula bermaksud bernasib baik. Dari situlah muncul nama Butternang itu,” ujarnya.

Okey, untuk anda yang memang dah kenal dengan Ansshellbox ini mesti tahu menunya memang sedap-sedap, malah menjadi pilihan ramai selebriti.

Kalau sebelum ini, ia hanya boleh dinikmati melalui delivery, sekarang anda boleh terus menikmatinya di atas meja. Datang saja ke Butternang di Dataran Merdeka. Tempat selesa, parking pun mudah.

Dari delivery, Aisyah kini membuka Butternang untuk mereka yang mahu datang menikmati hidangannya.
Aisyah bersama pekerjanya semasa pelancaran Butternang baru-baru ini.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/