PENYANYI dan komposer terkenal, Amylea Azizan mula melebarkan sayapnya dalam bidang lakonan setelah hampir 18 tahun berkecimpung dalam industri seni tanah air.

Menurut Amylea,35, di mula menceburi bidang lakonan sebagai ‘cameo’ dan kini diberi tanggungjawab besar apabila perlu menggalas watak antagonis dalam drama Dendam Seorang Isteri.

Pelantun lagu Kendati itu berkata, dia mahu lakukan yang terbaik dalam lakonan dengan mencurahkan segala emosi yang dirasai menerusi watak berkenaan.

“Banyak perkara yang saya lalui dua tahun kebelakangan ini. Memang perkara yang sedih dan perit saya lalui.

“Jadi saya curahkan di set penggambaran. Daripada saya menangis di rumah, lebih baik saya menangis di set.

“Air mata yang tumpah itu adalah benar, cuma ceritanya berbeza di dalam (hati),” ujarnya kepada URTV.

Dalam pada itu, peserta program realiti Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) ini berkata, dia bersikap terbuka berkongsi mengenai masalah kesihatan mental iaitu kemurungan dan kebimbangan kepada umum.

“Saya kehilangan ayah dan orang yang saya cintai. Dua perkara tersebut cukup buatkan saya fikir bahawa setiap hari itu tiada jaminan.

“Saya tahu perkara ini (masalah kesihatan mental) suatu perkara yang jarang diperkatakan orang ramai. Saya sangat terbuka tentang perkara ini dan saya adalah salah seorang ‘survivor’.

“Saya percaya bahawa setiap perkara itu perlu lebih dihargai walaupun ianya sesuatu yang kecil.

‘Saya rasakan bahawa diri saya tidak akan sembuh apabila bercakap tentang sesuatu yang telah memberikan impak besar dalam kehidupan,” katanya.

Amylea berkata demikian ketika ditemui pada majlis Tayangan Perdana Program Ramadan Astro di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kongsi Amylea lagi, dia melupakan keperitan hidup yang di alami dengan cara memberi tumpuan sepenuhnya terhadap karier.

“Saya kerja macam nak mati. Kalau tidak ke rakaman lagu, saya akan ke set penggambaran. Saya jadikan karier saya sebagai kehidupan peribadi.

“Saya rasa ianya seronok untuk menjadi orang lain buat sementara waktu. Watak Nelissa di dalam drama ini adalah antagonis dan psikotik. Jadi saya boleh luahkan kemarahan menerusi watak yang di bawakan,” ujarnya.

Malah, Amylea turut mengulas lanjut tentang kisah hubungan cintanya yang terlerai selepas lebih sedekad bersama komposer Farouk Rahman.

“Saya dan dia (Farouk) sudah bersama selama 13 tahun. Kami pernah kongsi kehidupan dan bina kerjaya dari muda sampai sekarang. Perkara tersebut bukan mudah untuk dilupakan sebegitu sahaja.

“Saya tidak akan cakap bahawa saya benci dia. Orang di luar memang akan cakap untuk saya ‘move on’ tetapi mereka tidak berada di tempat saya. Bukan anda yang berkongsi kehidupan bersama ‘orang itu’.

“Saya juga bukan mudah untuk mengenali orang baru. Saya perlukan masa untuk mengenali dan sayangkan seseorang. Ia bukan mudah untuk saya lepaskan jika tiada sebab yang besar,” tegasnya.