PELAKON popular, Maya Karin atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke, 43, meluahkan rasa syukur apabila hasil kerjanya masih dihargai meskipun sudah berpuluh tahun berada dalam gelanggang seni.

Menurut Maya, sebagai seorang yang sudah lama berkecimpung dalam industri seni, dia sudah memberikan yang terbaik kepada peminat dalam setiap naskah yang dihasilkan.

“Saya sangat bahagia yang filem saya masih mendapat perhatian hati orang walaupun filem tersebut sudah 10 tahun hingga 15 tahun berlalu.

“Sebagai pelakon, saya sudah berikan segala-galanya untuk watak yang diberikan, jadi ia sangat bagus yang tenaga itu masih tidak hilang dan masih diingati oleh peminat.

“Alhamdulilah, orang masih boleh rasakannya lagi aura lakonan saya pada waktu dahulu,” katanya kepada URTV ketika ditemui di majlis Women Of Excellent Awards di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Maya kini sedang sibuk dengan penggambaran filem Telaga Suriram arahan Osman Ali sejak 20 Januari lalu.

“Penggambaran masih berjalan, berkemungkinan akan habis dalam 40 peratus lagi dan disebabkan cuaca yang tidak menentu, kita akan lanjutkan penggambaran selepas raya nanti.

“Alhamdulilah, penduduk kampung semua baik-baik. Perlis adalah satu negeri yang mempunyai alam sekitar yang sangat cantik, persekitaran yang bersih tetapi capaian Internet susah sedikit .

“Osman Ali suka kawasan yang ala-ala kampung. Alhamdulilah tiada apa-apa gangguan aneh seperti yang selalu didakwa oleh masyarakat kita,” jelasnya.