MALAYSIA dan Qatar secara rasmi bersetuju untuk saling mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 sesama kedua-dua negara dalam usaha pemulihan pasca pandemik virus itu. 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kedua-dua negara juga bersetuju mengintegrasikan aplikasi MySejahtera (Malaysia) dan Ehteraz (Qatar).

“Saya akan meminta Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk mengambil tindakan susulan berhubung dengan pengiktirafan sijil vaksinasi dan integrasi aplikasi MySejahtera dan Ehteraz Qatar,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang akhbar dengan media Malaysia di akhir lawatan rasmi tiga harinya ke Qatar hari ini.

Beliau berkata persetujuan itu dicapai pada pertemuannya dengan Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani selepas majlis sambutan rasmi di Amiri Diwan pagi tadi.

Ismail Sabri berkata beliau turut berterima kasih kepada Qatar yang telah memberikan kemudahan vaksinasi percuma kepada lebih 4,500 orang rakyat Malaysia yang bermastautin di Qatar, sebagaimana vaksinasi percuma yang diberikan  kepada rakyat Qatar di Malaysia.

BERITA BERKAITAN Perdana Menteri diberi sambutan rasmi di Amiri Diwan Qatar

Katanya mekanisme kerjasama dua hala ini pastinya memudahkan perjalanan pengembara antara kedua-dua negara.

“Bermula 1 April apabila pintu sempadan negara dibuka, Malaysia pastinya mengalu-alukan pelancong dari Qatar,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata beliau dan Amir Qatar telah turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu hubungan Malaysia dan Qatar yang telah terjalin selama 48 tahun sejak 1974.

“Dalam usaha memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara, kami bersetuju untuk meningkatkan pertukaran lawatan peringkat tertinggi antara Malaysia dan Qatar.

Di kesempatan ini, saya telah mengundang Sheikh Tamim untuk mengadakan lawatan ke Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri tiba di Doha pada Sabtu. Ini merupakan lawatan julung kali Ismail Sabri ke Qatar selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada Ogos tahun lepas. 

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram