
PROSEDUR operasi standard (SOP) kerajaan berkenaan aktiviti di pusat hiburan adalah jelas – masih lagi senarai terlarang.
Namun seperti mana sebelum ini, masih ada yang degil dan sanggup mengambil risiko penularan COVID-19.
Selain wabak, sudah tentu pengunjung juga berdepan risiko dikompaun oleh pihak berkuasa.
Bukan sedikit jumlahnya, tapi RM1,000 dan tengah malam tadi di sebuah pusat hiburan tidak berlesen di Cheras, 108 individu dikenakan kompaun.
Ini melibatkan nilai keseluruhan kompaun berjumlah, RM108,000 yang dikeluarkan kerana melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, serbuan dilakukan ke atas premis yang beroperasi di Cheras Business Centre pada pukul 12.15 tengah malam.
Dalam serbuan itu, kata Muhammad Idzam, pihaknya turut menahan tiga lelaki kerana menjalankan perniagaan, menjual minuman keras tanpa lesen dan menggajikan pekerja asing tanpa permit.
“Tangkapan melibatkan seorang lelaki warganegara yang merupakan pengurus pusat hiburan berkenaan dan dua pekerja lelaki bukan warganegara, mereka berumur antara 26 hingga 42 tahun.
Baca: Rasuah benarkan pusat hiburan beroperasi masa PKP, OCS didakwa
“Siasatan lanjut mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod (kesalahan) lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992, Seksyen 76 Akta Eksais 1976, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Idzam berkata, dalam serbuan berkenaan, pihaknya turut merampas kelengkapan dan barangan seperti seunit Digital Echo AV Amplifier, seunit pembesar suara, dua mikrofon tanpa wayar dan lima botol minuman keras pelbagai jenama.
Beliau juga memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pelanggaran SOP PPN Fasa 4 bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19.