Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucaptama di Majlis Apresiasi Ekspo 2020 Dubai bulan lalu./Gambar PMO

MALAYSIA berjaya melebihi sasaran potensi nilai perdagangan, pelaburan dan business leads berjumlah RM70 bilion secara keseluruhan bagi 26 program mingguan di Ekspo 2020 Dubai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, nilai ini telah diperolehi melalui 131 Memorandum Persefahaman atau Perjanjian Perkongsian dan pertanyaan perniagaan melibatkan sejumlah 4,558 mesyuarat, termasuk potensi padanan perniagaan.

“Sukacita juga saya umumkan satu lagi pencapaian membanggakan Pavilion Malaysia sejak bermulanya penganjuran Ekspo 2020 Dubai sehingga semalam bersamaan 29 Mac 2021, Pavilion Malaysia telah menerima 1.1 juta
pengunjung.

“Syabas diucapkan,” kata Ismail Sabri ketika memberi ucaptama di Majlis Apresiasi Ekspo 2020 Dubai hari ini.

Menurut Perdana Menteri, sebelum penyertaan di ekspo, Malaysia telah menetapkan sasaran untuk mencapai antara RM8 bilion hingga RM10 bilion bagi potensi peluang perdagangan dan pelaburan sepanjang enam bulan ini.

Kata Ismail Sabri, ini berasaskan pencapaian Malaysia di Ekspo Astana, Kazakhstan pada tahun 2017.

“Sebanyak 452 buah syarikat dari Malaysia turut hadir untuk menyertai program perdagangan dan perniagaan yang dilaksanakan secara minggu bertema, mengetengahkan lebih daripada 10 industri, termasuk kesihatan, pendidikan, industri halal, pelancongan dan lain-lain,” jelasnya.

Ismail Sabri Yaakob bersama delegasi Malaysia di hadapan Pavilion Malaysia Ekspo Dubai 2020 hari ini.

Sementara itu, dalam ucapatama tersebut, Perdana Menteri turut memaklumkan lebih 400 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) telah diberikan peluan di peringkat antarabangsa.

Katanya, ini adalah peluang bagi mereka mengembangkan perniagaan dan meneroka peluang-peluang baharu di luar negara.

“Untuk makluman, kerajaan menanggung kos yuran penyertaan semua PMKS ini di Ekspo 2020 Dubai, mereka hanya perlu membayar kos penginapan dan tiket kapal terbang sahaja.

“Ini membuktikan komitmen kerajaan untuk membantu, menyokong dan memperkasa PMKS. Saya mahu lebih banyak PMKS dapat melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa yang mana boleh membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, seterusnya meningkatkan taraf hidup Keluarga Malaysia,” katanya.