Tangkap layar rakaman video tular pensyarah memarahi secara melampau pelajar dalam pembelajaran secara dalam talian.

“Pasal itu aku tidak boleh duduk dengan orang B40”, kata seorang pensyarah menempelak seorang pelajar menerusi pembelajaran dalam talian.

Dalam video berdurasi 1.44 saat yang tular di media sosial sejak semalam, seorang pensyarah memarahi dan mengeluarkan kecaman melampau kepada seorang daripada pelajarnya.

Situasi itu dipercayai berlaku apabila pensyarah tersebut berang apabila pelajar berkenaan tidak membuka kamera ketika sesi penerangan dilakukan.

Bagaimanapun, tindakan pensyarah itu memarahi pelajar tersebut menimbulkan kemarahan orang ramai apabila mengeluarkan kenyataan berupa hinaan kepada orang miskin.

Berikut transkrip interaksi antara pensyarah dan pelajar tersebut.

Pensyarah: Macam cakap dengan tunggul. Berapa jawapan dia? Negatif?

Pelajar: 0.77

Pensyarah: Kau pakai apa? Kau pakai fon eh?

Pelajar: Ha ye Prof.

Pensyarah: Mana kau punya komputer?

Pelajar: Aaaa…Saya takde komputer Prof.

Pensyarah: Kau tinggal kat mana?

Pelajar: Seremban.

Pensyarah: kau tinggal kat Seremban. Bapak kau kerja apa?

Pelajar: Tak kerja Prof.

Pensyarah: Mak kau kerja apa?

Pelajar: Dah takde Prof.

Pensyarah: Mak kau dah takde. Bapak kau takde kerja?

Pelajar: Iye Prof.

Pensyarah: So takde adik-beradik?

Pelajar: Ada Prof.

Pensyarah: Kau cakap dengan kakak kau, kalau dia ada gelang emas, pergi jual gelang emas, pergi beli komputer. Aku cakap dengan kamu. Kalau kau ada kakak yang ada gelang emas, pergi jual gelang emas beli komputer. Pasal itu kau tak boleh belajar dengan baik disebabkan kerana engkau tidak ada komputer. Lepas ini aku akan ajar engkau Excel, pasal itu kau akan menjadi ‘drop out’ student. Semester Lima kau tak ada komputer. Aku sanggup tak ada pakaian, aku ada lima helai je pakaian, the most important is the computer is very very important for me. Hanya RM800 saja beli komputer. Apa masalah kau? Pasal itu aku tidak boleh duduk dengan orang B40. arghhh.. Dia lebih memikirkan pasal lain daripada pelajaran. Okey kelas, kau tutup kamera kau tu. Aku tak nak tengok lagi dah.

Difahamkan, pensyarah tersebut daripada sebuah universiti awam yang terletak di Perak.