Menteri Kesihatan, khairy Jamaluddin. GAMBAR: Abd Razak Aid

MASIH boleh makan di kedai, masuk ke pusat beli-belah, ke tempat kerja dan lain-lain seperti mana individu yang sudah lengkap divaksinasi.

Itu situasi bagi penerima vaksin Sinovac dan Sinopharm yang belum mengambil dos penggalak walaupun selepas 1 April.

Pada masa sama, maklumat sejarah vaksinasi primer yang terdapat dalam MySejahtera masih kekal walaupun mereka kehilangan status vaksinasi lengkap selepas tarikh tersebut.

Perkara ini dimaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan petang ini.

Baca: Lebih 2 juta penerima vaksin Sinovac mungkin hilang status vaksinasi lengkap

Sehubungan itu, jelas Khairy, pemilik-pemilik premis perlu memastikan bahawa hanya pelanggan yang telah sekurang-kurangnya melengkapkan vaksinasi dos primer dibenarkan masuk ke premis, termasuk rumah ibadat.

“Pemakluman SOP terbaharu ini bagaimanapun bukan bermaksud penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas serta penerima semua jenis vaksin berusia 60 tahun dan ke atas tidak perlu mendapatkan dos penggalak,” katanya.

Kata Khairy, seseorang individu diiktiraf sebagai lengkap vaksinasi dos primer apabila memenuhi kriteria seperti bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.

Selain itu, katanya, bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan.

Jelas beliau, bagi pengembara dari luar negara yang akan memasuki Malaysia, mereka perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu hanya pengembara yang menerima vaksinasi lengkap (lengkap vaksinasi dos primer dan dos penggalak) dibenarkan memasuki premis berkenaan.

Sementara itu, Khairy berkata, data penilaian yang dijalankan dalam kalangan penerima vaksin di Malaysia mendapati tahap perlindungan terhadap jangkitan COVID-19 menurun sehingga 20 peratus bagi dua dos vaksin Pfizer dan 48 peratus bagi dua dos vaksin Sinovac dalam tempoh tiga hingga lima bulan selepas vaksinasi primer. 

Menurut beliau, pengambilan dos penggalak akan meningkatkan semula paras antibodi dalam tubuh, seterusnya boleh mengurangkan risiko gejala teruk akibat jangkitan COVID-19.

“Sehubungan itu, KKM ingin menasihatkan dan menggalakkan individu yang belum menerima dos penggalak supaya mendapatkannya dengan segera,” katanya.