UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) mengambil tindakan tegas terhadap seorang pensyarah yang mengeluarkan komen sentitif terhadap pelajar ketika sesi pembelajaran dalam talian.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Roziah Mohd. Janor berkata, UiTM bertegas untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan nama baik universiti itu sama ada dengan sengaja atau tidak.
“Kewujudan UiTM adalah untuk membantu golongan tidak berkemampuan meneruskan pembelajaran di peringkat universiti.
“Sememangnya dan sewajarnya UiTM membantu golongan B40. Justeru, segala kemudahan pembiayaan melalui dan-dana tertentu disediakan UiTM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: ‘Pasal itu aku tak boleh duduk dengan orang B40!’ – Pensyarah viral
Mengulas lanjut, Roziah berkata, UiTM telah menyediakan pelbagai dana untuk kegunaan para pelajar yang kurang berkemampuan.
Jelasnya, dana tersebut bagi mendapatkan kemudahan pembelajaran seperti dana amanah pelajar dan bantuan dari pusat zakat serta dari pihak alumni.
“Bagi pelajar yang berhadapan dengan masalah, hubungi pihak universiti untuk dapat khidmat nasihat dan bantuan sewajarnya bagi melancarkan proses pembelajaran,” katanya.